Home Buletin Semasa PGA SERBU KILANG KAYU, RAMPASAN BERNILAI RM32.88 JUTA

PGA SERBU KILANG KAYU, RAMPASAN BERNILAI RM32.88 JUTA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

TANAH MERAH: Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan pemprosesan kayu haram dan menahan lima individu termasuk pekerja asing dalam tiga serbuan berasingan di sini, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM32.88 juta menerusi Op Taring Wawasan.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid dalam kenyataan hari ini, berkata, serbuan pertama pada jam 12.45 tengah hari di sebuah kilang kayu di Mukim Batang Merbau membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berumur 64 tahun bersama dua pekerja Myanmar yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 800 batang kayu balak dan 30,000 batang kayu yang siap diproses disyaki diperoleh daripada pencerobohan hutan simpan serta tidak bercukai.

“Peralatan memproses kayu dan jentera berat turut disita dengan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM13.7 juta,”katanya dalam kenyataan.

Manakala menurutnya serbuan kedua dilakukan pada waktu sama di sebuah kilang di Jalan Bukit Kechik mendapati kilang berkenaan beroperasi tanpa lesen sah daripada Jabatan Perhutanan.

“Pemilik kilang seorang lelaki tempatan berumur 60 tahun dan pemandu lori lelaki tempatan berumur 27 tahun ditahan.

“Sebanyak 33 bundle kayu, satu longgok kayu bulat, sebuah lori dan peralatan memproses kayu dirampas dengan nilai keseluruhan RM10.98 juta,”katanya.

Sementara itu, serbuan ketiga pada jam 1 tengah hari di Kampung Bukit Pauh pula menemukan seorang pekerja wanita tempatan berumur 35 tahun.

“Pemeriksaan mendapati kilang tersebut menggunakan permit pindah hasil hutan berulang kali bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Turut disita ialah 45 longgok kayu siap diproses, lima longgok kayu balak, sebuah jentera berat dan peralatan memproses kayu dengan nilai rampasan dianggarkan RM8.2 juta,”katanya.

Kesemua rampasan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313), Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 3(2) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here