Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas beras dan makanan sejuk beku dipercayai diseludup dari Thailand selepas menahan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di Jalan Banggol Kulim di sini, pada Ahad.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, rampasan dilakukan pada jam 9 malam ketika sepasukan Batalion 9 sedang melaksanakan Op Taring Wawasan.
“Hasil pemeriksaan ke atas lori terbabit menemui 1,005 paket makanan sejuk beku jenis sosej Thailand, 692 kilogram beras putih, 100 kilogram beras pulut serta beberapa barang runcit lain yang tidak disenaraikan dalam invois pemandu.
“Semua barang tersebut disyaki diseludup dari Thailand dan cuba disorok bersama barangan runcit lain di bahagian belakang lori,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut beliau, pemandu lori berusia 45 tahun dipercayai bertindak sebagai penghantar barangan berkenaan untuk dipasarkan di pasaran tempatan.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM37,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“Barang rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Kastam Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut, manakala barangan sah di dalam invois dipulangkan semula kepada pemandu,” katanya.
IMedikel TV




