Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Sebanyak 1.15 juta batang rokok putih seludup bernilai RM2.215 juta dirampas dalam serbuan di sebuah kawasan kuari di Mukim Jerus, Bukit Jawa, di sini, pada Jumaat.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata serbuan itu dijalankan kira-kira jam 6.30 pagi menerusi Op Taring Alpha 1 itu turut menahan seorang lelaki warganegara Indonesia yang ditemui bersembunyi dalam sebuah kabin dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Hasil serbuan menemui 1.15 juta batang rokok putih berada dalam kenderaan dan kontena di lokasi serbuan.
“Rokok-rokok ini disyaki diseludup dan untuk dijual ke pasaran tempatan. Anggaran rampasan keseluruhan bernilai RM 2.215 juta termasuk kenderaan dan kontena,”katanya dalam kenyataan semalam.
Suspek dan barangan rampasan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1) c Akta Imigresen 1959/63.
IMedikel TV






