Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Pempengaruh di media sosial yang tumbuh bak cendawan masa kini, dijadikan sebagai inspirasi bagi kebanyakan individu terutama kanak-kanak, remaja mahupun dewasa.
Dengan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menggalakkan lebih ramai pempengaruh menggunakan Bahasa Melayu yang betul dalam usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan dalam setiap kandungan video mereka.
Ahli Lembaga Pengelola DBP, Dr. Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy, berkata, pembabitan pempengaruh kini amat penting seiring dengan kemajuan teknologi dan peredaran zaman.

“Mempromosikan atau menonjolkan Bahasa Melayu itu tidak semestinya secara langsung, mereka boleh menggunakan Bahasa Melayu yang baik dan masyarakat akan memerhati, contohnya seperti lagu cicak yang ‘trending’ berkaitan dialek kita, orang di negara luar juga turut menyanyikannya.
“Sesuai dengan peredaran zaman, pempengaruh dilihat mampu memberi impak positif kepada masyarakat kerana zaman ini sudah ramai yang tidak membaca akhbar, menonton televisyen mahupun mendengar radio, malah kebanyakan mereka sudah beralih ke platform media sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Lestari Bahasa 2025 dan Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan, di Dataran Platinum, Lembah Sireh, di sini, hari ini.

Menurutnya, bahasa bukan sahaja alat komunikasi tetapi juga cerminan minda, nilai dan tamadun yang menjadi jiwa kepada pembinaan masyarakat berilmu dan beradab.
Katanya, penganjuran acara Larian Lestari Bahasa juga menjadi salah satu inisiatif mereka dalam memartabatkan bahasa Melayu sekaligus mendekatkannya kepada masyarakat.
“Pempengaruh yang boleh berbahasa Melayu dengan baik ini adalah satu keadaan yang positif, jadi kita galakkan dan bagi laluan kepada mereka dan berharap dapat hasilkan ramai lagi pempengaruh yang boleh berbahasa dengan baik.
“Selain itu, kita juga melihat sambutan dari bangsa lain yang boleh berkomunikasi dalam Bahasa Melayu juga amat menggalakkan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, pembelajaran bahasa asing seperti Mandarin wajar digalakkan bagi menambah ilmu pengetahuan, namun bahasa Melayu tetap menjadi asas yang tidak boleh dipinggirkan.
Dalam pada itu, Dr. Ahmad Fadhlil berkata hampir 700 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat menyertai acara Larian Lestari Bahasa.

“Sempena Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan itu, ia menekankan pendekatan santai dalam aktiviti seumpama ini dalam mendekatkan Bahasa Melayu kepada masyarakat pelbagai lapisan.
“Acara larian itu bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi sebagai simbol perjalanan berterusan dalam memartabatkan bahasa Melayu.
“Kita lihat sambutan daripada peserta amat menggalakkan, bagi peserta yang aktif boleh berlari sejauh 5kilometer (km) manakala bagi yang berkeluarga boleh berlari 2km,” katanya
Sementara itu, bagi Siti Nur Khadijah Ahmad, 30, dari Kampung Pantai Cahaya Bulan, penyertaannya kali ini merupakan pengalaman pertama dalam acara seumpama itu.

“Awal-awal memang agak penat walaupun hanya berjalan kaki sahaja, tetapi bertambah baik, sebab sudah lama tidak ‘brisk walk’ jadi hendak biasakan itu penat sikit.
“Acara larian yang diterapkan dengan bahasa ini sangat bagus, tambahan pula ada reruai yang menyediakan kuiz bahasa, itu sangat menarik, lagipun sekarang ini, ramai yang menggunakan bahasa rojak dari segi singkatan curahan terutama di media sosial,” katanya.
Selain itu, bagi peserta dari KPTM, Miftahul Akma Mohd Fizhan bersama rakannya Siti Aisyah Marzuki, berusia 20 tahun, turut menzahirkan rasa seronok dan teruja apabila dapat menyertai larian itu.

“Kami memang minat aktiviti seperti ini, sebab boleh menyihatkan badan terutama pada hari cuti.
“Sekiranya diadakan lagi lepas ni, memang kami akan sertai,” katanya.
Hadir sama, Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari, Pengarah DBP Wilayah Timur, Ariza Che Ismail, Presiden IMedikel, Yusmat Mamat dan Naib Presiden IMedikel, Hasnah Zakaria.
Program berkenaan anjuran DBP bersama IMedikel Pharma Holdings Berhad (IMPHB) dan mendapat tajaan daripada rakan strategik iaitu Kemudi Timur, Gofa Design, Acson, NTS Printing, Adabi, Farm Fresh, Extra Joss, 100 Plus, Hiflex, IMedikel Pro Event Management, Kearong Runner dan Kolej Poly-Tech Mara (KPTM).
IMedikel TV






