Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan segera sekiranya terbabit dan terkesan dengan bencana alam.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan media semalam memaklumkan pihaknya cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana alam khususnya banjir menjelang peperiksaan SPM November ini.
“KPM sentiasa dalam keadaan siap siaga dan komited dengan langkah persediaan serta operasi standard yang sewajarnya bagi memastikan peperiksaan SPM Tahun 2025 dapat diteruskan dengan lancar dan teratur.
“KPM juga mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat,”menurut kenyataan itu.
Menurut KPM calon juga boleh menghubungi bilik gerakan Lembaga Peperiksaan dan JPN di seluruh negara.
KPM sentiasa bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Meteorologi Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan agensi lain yang berkaitan untuk memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan SPM Tahun 2025 berjalan lancar.
IMedikel TV






