Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KUALA KRAI: Penduduk Kampung Chatel Damai, Lata Rek, di sini bakal menyambut Aidilfitri tahun ini dengan penuh kesyukuran apabila akhirnya dapat menggunakan jambatan baharu yang siap dibina bagi menggantikan jambatan gantung yang runtuh sebelum ini.
Seorang penduduk, Wan Shukri Wan Isa, 54, berkata jambatan berkenaan amat dinantikan kerana ia merupakan laluan utama keluar masuk ke kampung itu.

“Tiada dalam mimpi kami untuk memiliki sebuah jambatan yang boleh dilalui kenderaan, memandangkan sejak puluhan tahun lalu kami hanya bergantung kepada jambatan gantung itu sebagai laluan utama sehingga ia akhirnya runtuh.
“Alhamdulillah jambatan ini siap sebelum hari raya, jadi anak cucu dari perantauan yang pulang boleh menggunakan laluan ini kerana ia satu-satunya jalan utama untuk masuk ke kampung kami,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Projek Siap Jambatan Jenis Keluli di Sungai Chatel Damai, Kampung Chatel, Lata Rek, di sini, semalam.
Terdahulu, Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan (ICU JPM), Dr Wan Nur Ibtisam Wan Ismail menyerahkan surat perakuan siap kerja kepada Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Wan Muhd Rahimi Wan Salleh.
Wan Shukri berkata, pembinaan jambatan keluli sepanjang 36 meter dan tiga meter lebar itu merupakan detik yang ditunggu-tunggu oleh penduduk kampung, selain merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas kelulusan segera projek berkenaan.
Sementara itu, Wan Nur Ibtisam berkata jambatan tersebut mampu menampung kenderaan sehingga lima tan, berbanding jambatan gantung sebelum ini yang hanya boleh dilalui motosikal dan basikal.

“Penduduk memang akan menggunakan jambatan ini kerana ada antara mereka yang mempunyai kebun di seberang sungai jadi laluan ini sangat penting dalam urusan harian mereka.
“Projek bernilai RM200,000 di bawah peruntukan Perdana Menteri itu mengambil masa enam minggu untuk disiapkan bermula 29 Januari dan siap sepenuhnya pada 11 Mac,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan lebih 50 tetamu terjatuh ke Sungai Chatel Damai pada 1 Januari lalu selepas jambatan gantung di kampung berkenaan runtuh dipercayai tidak mampu menahan beban ketika berlangsungnya kenduri perkahwinan.
IMedikel TV






