DUBAI: Asap kelihatan dari arah kemudahan tenaga utama Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Sabtu lalu, dipercayai akibat serangan terbaharu yang menyasarkan kemudahan petroleum di negara Teluk.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, difahamkan, insiden itu berlaku beberapa jam selepas Amerika Syarikat (AS) menyerang hab minyak Pulau Kharg milik Iran.
Awan asap hitam pekat dilihat keluar dari Fujairah, yang menempatkan pelabuhan utama dan terminal eksport minyak penting.
Pihak berkuasa tempatan berkata, serpihan yang jatuh selepas pemintasan dron berjaya menyebabkan kebakaran, tanpa menyatakan lokasi.
Beberapa jam sebelum itu, Presiden AS, Donald Trump berkata, tentera AS sudah mengebom sasaran di Pulau Kharg dan mengancam infrastruktur minyak di pulau itu.
Susulan itu, pihak berkuasa mengesahkan, mereka masih memadam kebakaran di Fujairah itu. Seorang warga Jordan dilaporkan cedera dalam insiden berkenaan.
Serangan dron sebelumnya turut mencetuskan kebakaran di Fujairah apabila serpihan dron yang dipintas jatuh.
Sejak permulaan perang, Iran menyasarkan tapak tenaga di Teluk dari Kuwait hingga Oman secara sistematik.
Serangan itu kebanyakannya menyasarkan medan minyak, gas atau kompleks besar seperti kilang penapisan Ras Tanura di Arab Saudi, Ras Laffan di Qatar dan kilang penapisan Ruwais di UAE.
Iran juga menghentikan trafik di Selat Hormuz, laluan perkapalan penting bagi kira-kira satu per lima minyak mentah global dan gas asli cecair.
UAE berulang kali menjadi sasaran serangan peluru berpandu dan dron selepas serangan balas Tehran terhadap AS dan Israel.
Lewat Sabtu, kementerian hal ehwal luar UAE mengecam penyasaran konsulatnya di Kurdistan Iraq buat kali kedua dalam tempoh seminggu. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






