Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang pembantu Belia dan Sukan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, semalam atas enam pertuduhan menipu melibatkan wang tunai RM64,200 dan barangan bantuan banjir pada 2019 hingga 2022.
Tertuduh, Muhammad Alif Heikal Samsol, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperdayakan mangsa berusia 53 tahun untuk menyerahkan sejumlah wang RM25,000 dengan mempercayai Azhar dilantik sebagai kontraktor bagi membaik pulih gelanggang futsal di bawah seliaan Jabatan Belia dan Sukan Bachok pada 6 Oktober 2019, yang sebenarnya tidak wujud.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran makanan segera Pantai Irama, Bachok pada 16 Oktober 2019.
Bagi lima lagi pertuduhan lain, Muhammad Alif Heikal didakwa memperdaya mangsa berusia 38 untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM39,200 dengan mempercayai bahawa beliau telah dilantik sebagai pembekal bagi Program Pasca Bencana Banjir di bawah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan bertarikh 10 November 2022 dan Program Kursus Kesukarelawan Satria Rakan Muda bertarikh 9 November hingga 10 November 2022 di sebuah stesen minyak di Panji, di sini.
Tertuduh memperdaya mangsa dengan mempercayai bahawa mangsa dilantik sebagai pembekal bagi Program Pasca Bencana Banjir di jabatan tersebut bertarikh November 2022.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mariah Omar dan Ermi Yasmin Abd Momen, manakala tertuduh diwakili peguam, Azura Ghazali.
Terdahulu, pihak pendakwa mencadangkan jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan pasport tertuduh perlu diserah kepada pihak berkuasa, lapor diri dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun Azura merayu supaya jaminan anak guamnya dikurangkan dengan alasan tertuduh menanggung isteri dan empat anak.
Tertuduh yang sudah ditukarkan ke jabatan lain di Selangor sejak setahun lalu itu dibenarkan jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan tersebut termasuk perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Kota Bharu setiap bulan.
Kes ditetapkan pada 28 Julai depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh kemudian dibebaskan selepas menjelaskan wang jaminan.
IMEDIKEL TV





