Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GUA MUSANG: Seorang lelaki warga Bangladesh yang bekerja sebagai pekebun dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di sebuah kebun sayur di Jalan Lama Lojing, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superitenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 1.35 petang semalam.
“Pemeriksaan awal mendapati sebuah rumah kongsi tertimbus akibat kejadian tanah runtuh berkenaan, manakala seorang lelaki warga Bangladesh yang bekerja sebagai pekebun dikhuatiri turut tertimbus,” dalam kenyataan media.
Beliau berkata susulan itu, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Gua Musang digerakkan ke lokasi.
“Pasukan SAR tiba di kawasan kejadian kira-kira jam 6.29 petang selepas perjalanan ke lokasi terjejas akibat hujan lebat.
“Pemerhatian dan penilaian awal dilakukan dengan mengambil kira keadaan cuaca, kestabilan kawasan serta jarak penglihatan yang semakin terbatas,” katanya.
Beliau berkata, operasi SAR ditangguhkan pada jam 7.30 malam atas faktor keselamatan dan akan disambung semula hari ini.
Operasi berkenaan membabitkan 15 pegawai dan anggota PDRM serta JBPM dengan kekuatan tiga kenderaan.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghampiri kawasan kejadian bagi mengelakkan sebarang risiko, selain memberi ruang kepada pasukan penyelamat menjalankan tugas.
Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
IMedikel TV






