SEOUL: Seorang wanita warga Brazil dilapor dijatuhi hukuman penjara selepas berulang kali mengunjungi kediaman kumpulan K-pop sensasi, BTS, iaitu Jungkook, malah, menekan loceng premis terbabit sebanyak 133 kali pada setiap kunjungan, biarpun diberi amaran agar menjauhkan diri.
Memetik laporan BBC menerusi Berita Harian, wanita yang identitinya tidak didedahkan itu dilapor mula mengekori Jungkook pada Disember, tahun lalu. Dia turut cuba meninggalkan surat dan gambar di hadapan pintu rumah penyanyi berusia 28 tahun itu atas alasan dilakukan kerana cintakan Jungkook.
Mahkamah Daerah Seoul baru-baru ini dilapor menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap wanita itu, namun pelaksanaannya ditangguhkan selama dua tahun, lapor BBC.
Wanita terbabit dijangka dihantar pulang dari Korea Selatan, melainkan berjaya dalam rayuannya terhadap keputusan mahkamah.
Menurut dokumen mahkamah, wanita itu dilapor kali pertama mengunjungi kediaman Jungkook di Seoul pada 7 Disember, tahun lalu. Ketika itu, dia didakwa berkeliaran di sekitar rumah berkenaan, membaling beberapa barang melepasi tembok dan menyelitkan surat melalui celah pintu.
Beberapa hari kemudian, dia kembali ke lokasi sama dan menekan loceng rumah sebanyak 133 kali, tindakan yang menurut mahkamah menunjukkan tahap obsesi yang melampau.
Wanita terbabit ditahan pada 13 Disember tahun lalu, iaitu selepas mengekori seorang penghantar makanan untuk memasuki kawasan kediaman itu melalui pintu pagar sisi. Wanita itu dibebaskan keesokan harinya dengan amaran supaya tidak menghampiri rumah berkenaan lagi, namun dia mengingkari arahan itu.
Lawatannya berterusan dalam beberapa minggu berikutnya sehingga polis mengeluarkan perintah kecemasan yang melarangnya berada dalam lingkungan 100 meter dari kediaman itu.
Namun, wanita terbabit dilapor berdegil. Polis akhirnya merujuk kes itu kepada pihak pendakwa raya pada Februari lalu, selepas dia dikesan terus mengunjungi rumah Jungkook.
Mahkamah dimaklumkan bahawa wanita itu datang ke kediaman berkenaan sebanyak 22 kali.
Ketika menjatuhkan hukuman, hakim mahkamah daerah berkata, keputusan itu mengambil kira beberapa faktor yang meringankan, termasuk risiko wanita berkenaan untuk mengulangi kesalahan yang dianggap tidak tinggi.
Pada Jun tahun lalu, seorang wanita warga China berusia lingkungan 30-an turut ditahan di Seoul kerana cuba menceroboh kediaman Jungkook hanya beberapa jam selepas penyanyi itu menamatkan perkhidmatan ketenteraannya. -BBC, BH Online-
IMedikel TV






