Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
SUNGAI PETANI: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah menahan sembilan pendatang tanpa izin (PATI) menerusi Ops Kutip di sebuah pusat membeli-belah yang menjadi tumpuan warga asing di Sungai Petani, Isnin lalu.
Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi laman rasmi JIM Negeri Kedah, operasi bermula pada jam 10.30 pagi itu dilaksanakan susulan aduan awam serta risikan berhubung kehadiran warga asing yang disyaki mempunyai status imigresen yang meragukan.
“Operasi berkenaan membabitkan sembilan pegawai daripada Unit Tindakan Imigresen JIM Negeri Kedah.
“Hasil pemeriksaan terhadap 13 individu mendapati mereka terdiri daripada empat warganegara Malaysia, empat warga Bangladesh, empat warga Indonesia dan seorang warga Myanmar.
“Daripada jumlah itu, sembilan warga asing ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155] iaitu berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah,”menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan, mereka yang ditahan berusia antara 23 hingga 46 tahun.
“Kesemua mereka dibawa ke Depot Imigresen Belantik bagi tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Dalam operasi sama, JIM turut mengeluarkan satu Borang Imm.29 (Saman Kepada Saksi) bagi membantu siasatan,”jelas kenyataan itu.
Menurut JIM Negeri Kedah, lokasi berkenaan sebelum ini pernah dikenakan tindakan penguatkuasaan pada April lalu, sekali gus membuktikan komitmen berterusan jabatan itu dalam memastikan pematuhan undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran PATI.
Jabatan itu menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat di lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melindungi, menggaji atau bersubahat dengan PATI.
Orang ramai turut diseru supaya menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran PATI atau sebarang pelanggaran undang-undang imigresen kepada Jabatan Imigresen Malaysia bagi membolehkan tindakan segera diambil.
IMedikel TV






