Home Buletin Semasa MBAS KELUAR NOTIS, KOMPAUN DALAM OPS BUAH BERMUSIM

MBAS KELUAR NOTIS, KOMPAUN DALAM OPS BUAH BERMUSIM

49
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

ALOR SETAR: Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) melaksanakan Ops Buah Bermusim dengan memeriksa 12 penjaja yang menjalankan aktiviti penjualan buah-buahan bermusim di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini, Khamis lalu.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi MBAS, operasi menerusi Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Bahagian Penguatkuasaan itu dijalankan di Jalan Alor Mengkudu–Jalan Datuk Kumbar serta sepanjang Lebuhraya Sultanah Bahiyah menuju ke Kuala Sungai bagi memastikan penjaja mematuhi syarat pelesenan dan peraturan yang ditetapkan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa kesalahan membabitkan pelanggaran syarat pelesenan serta penggunaan kawasan awam tanpa kebenaran.

“Dua notis dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Gerai dan Penjaja MBAS 2010 atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen mengikut Seksyen 3(1), manakala satu lagi notis dikeluarkan di bawah Seksyen 22(1)(d) kerana menjalankan perniagaan di kawasan awam tanpa kebenaran,”menurut kenyataan itu.

Selain itu, dua notis turut dikeluarkan mengikut Peraturan 10(1)(a) di bawah Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kedah 1983 terhadap penjaja yang mendirikan khemah kekal tanpa permit.

MBAS turut mengeluarkan satu kompaun di bawah Seksyen 3(1) atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Menurut MBAS, pemeriksaan berkala secara berjadual akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu, pemilik premis perniagaan dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here