Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Malaysia sedang memperkukuh langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi kemungkinan fenomena El Nino berintensiti kuat yang dijangka berterusan sehingga awal tahun 2027, sekali gus berpotensi menyebabkan cuaca lebih panas dan kering serta meningkatkan risiko jerebu dan kebakaran terbuka.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan memaklumkan perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan (JIJCKK) Bilangan 1 Tahun 2026 yang berlangsung di kementerian tersebut semalam.
“Berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), negara kini berada dalam fasa Monsun Barat Daya sejak 14 Mei lalu dengan potensi berlakunya fenomena El Niño yang kuat dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
“Keadaan ini dijangka menyebabkan taburan hujan berkurangan dan cuaca menjadi lebih panas serta kering berbanding kebiasaan, sekali gus memberi kesan kepada sektor pertanian, paras air empangan, peningkatan risiko pembakaran terbuka serta jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan awam,” menurut kenyataan itu.
Mesyuarat berkenaan turut menyaksikan pembentangan strategi dan tindakan kesiapsiagaan oleh NRES, MET Malaysia, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi menghadapi impak cuaca panas dan kering dengan kerjasama kementerian, agensi serta kerajaan negeri.
“Antara perkara yang dipersetujui ialah semua kementerian, jabatan, agensi dan kerajaan negeri perlu melaksanakan persediaan awal menerusi mesyuarat penyelarasan, mempertingkatkan pemantauan dan langkah pencegahan pembakaran terbuka serta memastikan kesiapsiagaan infrastruktur tanah gambut, jentera dan sumber manusia.
“Langkah itu bertujuan memastikan sebarang insiden kebakaran dapat dipadamkan dengan segera bagi mengelakkan berlakunya jerebu tempatan,”jelas kenyataan itu.
Selain itu, orang ramai turut disaran sentiasa mengikuti maklumat cuaca terkini yang dikeluarkan oleh MET Malaysia melalui laman web rasmi dan aplikasi myCuaca serta memantau bacaan kualiti udara menerusi portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) dan aplikasi MyJAS EQMP.
Menurut kenyataan itu, JBPM juga sudah bersedia dari segi logistik dan sumber manusia untuk digerakkan sekiranya diperlukan bagi menghadapi impak Monsun Barat Daya.
“Pada masa sama, NADMA, MET Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan bersiap siaga melaksanakan Operasi Pembenihan Awan di kawasan terjejas tertakluk kepada kesesuaian keadaan atmosfera.
“Di peringkat serantau, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ke-27 Ministerial Steering Committee (MSC) dan Technical Working Group (TWG) Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan yang dijadual berlangsung di Bali, Indonesia pada 8 dan 9 Julai depan,’menurut kenyataan itu.
Dalam mesyuarat itu, Malaysia dijangka membentangkan strategi pencegahan kebakaran hutan dan tanah serta cadangan penambahbaikan pelaksanaan Perjanjian ASEAN Mengenai Jerebu Merentas Sempadan.
Sehubungan itu, NRES mengingatkan semua pihak supaya tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah dan premis diceroboh sehingga menyebabkan berlakunya kebakaran terbuka.
Tegas kementerian itu, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bertanggungjawab menyebabkan pembakaran terbuka termasuk pemilik tanah.
“Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, selain kompaun sehingga RM500,000 bagi setiap kesalahan,” menurut kenyataan itu.
IMedikel TV






