LIVERPOOL: Liverpool terlepas peluang untuk kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris selepas Manchester United akhirnya menunjukkan semangat juang ketika seri 0-0 di Anfield.
United menyaksikan Diogo Dalot dibuang padang dalam masa kecederaan, tetapi tuan rumah seakan buntu dari awal permainan untuk menembusi benteng pelawat.
Liverpool yang berada di tangga teratas sebelum aksi hujung minggu ini, tergelincir ke tangga ketiga selepas Arsenal dan Aston Villa merakam kemenangan.
Skuad kendalian Jurgen Klopp menguasai permainan, tetapi sentuhan penyudah mereka kurang berkesan untuk melebarkan deretan kemenangan liga kepada empat perlawanan.
Liverpool kini di tangga kedua, satu mata di belakang Arsenal menjelang pertemuan antara kedua-dua pasukan di Anfield pada Sabtu.
‘Saya melihat banyak aspek positif, satu-satunya perkara yang saya tidak suka adalah keputusan. Kami sepatutnya menjaringkan gol.
“Ini adalah penguasaan terbaik ke atas Man United, tetapi mereka bertahan dengan sangat baik,” kata Klopp.
Ketika Liverpool kecewa gagal memenangi perlawanan di laman sendiri buat pertama kali dalam 12 perlawanan, United pula menganggap keputusan seri itu adalah isyarat kebangkitan mereka.
Tanpa beberapa pemain utama yang cedera dan kapten, Bruno Fernandes yang digantung, United menunjukkan semangat juang berbeza pada aksi berkenaan.
Kekalahan di laman sendiri kepada Bournemouth hujung minggu lalu, disusuli dengan kekalahan 1-0 kepada Bayern Munich pada Selasa yang mengakhiri cabaran mereka di Liga Juara-Juara Eropah musim ini.
Skuad kendalian Erik ten Hag kembali ke Anfield buat pertama kali sejak dibelasah 7-0 pada Mac, kekalahan paling memalukan dalam sejarah kelab.
Mereka kekal tanpa sebarang kemenangan di Anfield sejak tahun 2016, tetapi keputusan terakhir ini mencetus harapan baru buat Ten Hag musim ini.
“Perancangan permainan berjalan dengan baik, pemain-pemain beraksi cemerlang serta berjuang sebagai satu pasukan,” kata Ten Hag. –AFP-BH ONLINE-






