Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Sebanyak 5,584 produk termasuk ubat kurus tidak berdaftar dirampas dalam operasi penguatkuasaan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kelantan, di daerah ini hari ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Dr Kasuadi Hussin berkata, operasi itu dijalankan selepas pihaknya menerima aduan orang awam serta hasil pemantauan dan risikan terhadap aktiviti penjualan produk kesihatan yang disyaki mengandungi racun berjadual.
Beliau berkata daripada sembilan premis yang diperiksa, rampasan dibuat di tujuh premis termasuk ubat kurus tidak berdaftar serta produk kosmetik dan kesihatan lain.
“Sebanyak 5,584 produk termasuk ubat kurus tidak berdaftar serta dua unit peranti digital dirampas, dengan anggaran nilai keseluruhan mencecah RM60,000.
“Operasi ini dijalankan susulan proses risikan yang mengambil masa kira-kira setahun, termasuk pemantauan serta pembelian sampel bagi mengenal pasti produk yang dijual,” katanya pada sidang media susulan operasi berkenaan di sini hari ini.
Katanya dua peranti digital yang dirampas termasuk unit pemprosesan komputer (CPU) dan telefon akan dianalisis bagi membantu siasatan berhubung aktiviti penjualan dan pengedaran produk berkenaan.
Menurutnya, tindakan itu adalah antara operasi berskala besar yang digerakkan hasil risikan, selain penguatkuasaan rutin yang dilaksanakan pihaknya sepanjang tahun.
Katanya, pihak Penguatkuasaan Farmasi Negeri Kelantan setakat ini telah menjalankan kira-kira 40 tindakan rampasan, manakala operasi berskala besar membabitkan risikan adalah antara yang diberi perhatian khusus.
Katanya, tindakan berkenaan diambil berikutan penjualan produk kesihatan tidak berdaftar yang disyaki mengandungi racun berjadual adalah satu kesalahan di bawah Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 12, Akta Jualan Dadah 1952.
“Jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM50,000.
“Perbuatan itu juga adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 13(a), Akta Racun 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 32(2), Akta Racun 1952.
“Jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Dr Kasuadi berkata, kegiatan penjualan produk kesihatan tidak berdaftar turut dikesan semakin berleluasa menerusi platform dalam talian, bukan sahaja di Kelantan malah di seluruh negara.
“Pihak Penguatkuasaan Farmasi secara proaktif menjalankan saringan iklan di platform e-dagang. Dalam tempoh setahun, lebih 27,000 URL atau pautan iklan produk ubat-ubatan di platform seperti Shopee, Lazada dan TikTok Shop telah dikesan dan diturunkan dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan penjual dan pengedar supaya memastikan hanya produk kesihatan berdaftar dengan nombor MAL serta mempunyai pelekat keselamatan hologram Farmatag sahaja dikendalikan.
Dr Kasuadi berkata, KKM turut melaksanakan kempen kesedaran Tolak Ubat Tidak Sah (TOBaTS) bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai risiko penggunaan produk kesihatan yang menyalahi undang-undang.
Orang ramai pula dinasihatkan menyemak status pendaftaran sesuatu produk menerusi laman sesawang Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA), selain menyalurkan maklumat berhubung penjualan produk kesihatan yang meragukan kepada pihak berkuasa.
IMedikel TV






