Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Bayi perempuan berusia lima hari yang sebelum ini dilaporkan positif dua jenis dadah kini berada dalam keadaan stabil dan menunjukkan perkembangan kesihatan yang baik.
Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Dr Kasuadi Hussin berkata, bayi berkenaan kini masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dan tidak lagi memerlukan bantuan mesin pernafasan.
“Pemantauan terhadap bayi berkenaan juga mendapati tiada simptom berkaitan pendedahan kepada dadah, selain bayi boleh minum susu serta membuang air kecil dan besar seperti biasa.
“Keadaan bayi stabil, tidak perlu lagi menggunakan mesin bantuan pernafasan dan minum susu dengan baik. Buang air kecil dan besar juga tiada masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media susulan operasi serbuan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) di Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihak hospital turut merujuk kes berkenaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi penilaian dari aspek sosial dan ekonomi keluarga.
“Tindakan selanjutnya akan ditentukan bersama Unit Kebajikan Sosial Perubatan HRPZ II menjalankan penilaian bagi menentukan sama ada bayi berkenaan sesuai diserahkan kepada ahli keluarga atau pihak JKM,”katanya.
Kes berkenaan mendapat perhatian selepas bayi perempuan berusia lima hari itu dilaporkan positif dua jenis dadah hasil ujian yang dijalankan sebelum ini.
Terdahulu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat memaklumkan pihak polis sedang menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.
IMedikel TV






