Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Golongan wanita yang terlibat dengan masalah gangguan seksual boleh membuat aduan di Mawaddah Centre yang terletak di sekitar Stesen Bas lama, Kota Bharu, di sini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga & Wanita, Nor Asilah Mohamed Zin berkata, mangsa perlu bangkit dengan membuat laporan yang dialami bagi membolehkan tindakan segera diambil.
“Mawaddah Centre sedia memberi khidmat untuk bincang masalah itu dan cuba menyelesaikannya, sekiranya ada bukti seksual tersebut, mereka boleh sertakannya.
“Untuk mendapat khidmat nasihat, kita juga ada kaunselor yang bertauliah dan bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Program Women’s Wellness & Health Inspirational Summit 2024, di sini, pada Sabtu.
Nor Asilah berkata, kerajaan negeri turut berkolaborasi bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) untuk turun padang dalam menyampaikan maklumat tentang gangguan seksual di setiap jajahan.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan wanita Kelantan yang tidak menutup aurat di tempat umum tidak akan disaman, tetapi mereka akan diberi nasihat atau dikenakan denda mengikut undang-undang yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Islam negeri Kelantan (JAHEIK).
“Kita juga ada Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (UKEKWA) yang mana mereka berperanan memberi kesedaran menutup aurat kepada golongan wanita menerusi program tertentu yang dilaksanakan di setiap jajahan,” katanya.
IMEDIKEL TV






