Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
SEREMBAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan sebanyak RM430.26 juta bagi melaksanakan 80 projek pembangunan utama di Negeri Sembilan sepanjang tempoh 2023 hingga 2026, membabitkan pelbagai inisiatif pembangunan perumahan, kemudahan awam serta kesejahteraan rakyat.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak RM119.6 juta diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Rolling Plan 1 (RP1) Tahun 2026, meliputi RM115.5 juta bagi pelaksanaan projek pembangunan KPKT serta RM4.05 juta sebagai peruntukan tambahan untuk memperkukuh agenda pembangunan perbandaran negeri.
“Komitmen Kerajaan MADANI diterjemahkan menerusi pelaksanaan pelbagai projek yang memberi impak langsung kepada rakyat, termasuk pembangunan Program Residensi Rakyat (PRR), Rumah Mesra Rakyat (RMR), penyelenggaraan perumahan strata di bawah Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) serta Program Penyelenggaraan Perumahan (PPP).
“Peruntukan itu turut merangkumi usaha memperkukuh pengurusan sisa pepejal secara mampan, menaik taraf pasar, gerai dan dewan masyarakat, pembinaan balai bomba baharu, pembangunan Kampung Baru serta penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) bagi meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup komuniti setempat,”katanya.
Beliau berkata demikian sempena Lawatan Kerja Rasmi ke Negeri Sembilan menerusi siri jelajah Sentuhan Kasih KPKT 4.0, yang turut menyaksikan simbolik penyerahan peruntukan kepada EXCO Kerajaan Negeri Sembilan, Arul Kumar Jambunathan, yang mewakili kerajaan negeri.
Sepanjang lawatan kerja itu, Nga turut meninjau beberapa projek pembangunan di daerah Jempol, Jelebu dan Seremban, termasuk projek baik pulih Medan Niaga Bahau, Program Baik Pulih Rumah di Bandar (PBPR), pembinaan Rekreasi MADANI, kerja menaik taraf gerai Majlis Daerah Jelebu, penyelenggaraan 24 RIBI, kerja mengecat Rumah Pangsa Lobak serta penggantian lif di Apartment Casa Prima.
“KPKT akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan secara cekap, telus dan berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat,”katanya.
IMedikel TV






