Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menerima 33 aduan berhubung dakwaan gangguan pada kenderaan selepas mengisi petrol membabitkan dua jenama syarikat minyak setakat ini.
Pengarah KPDN negeri, S Jegan,berkata kesemua aduan itu kini dalam siasatan sehingga mendorong pihaknya memperluaskan pemeriksaan dengan meneliti aspek pengendalian serta rantaian bekalan bahan api sebelum ia diedarkan ke stesen minyak.
Beliau berkata, pendekatan itu penting kerana tidak mahu hanya tertumpu kepada stesen minyak dan kenderaan pengguna, sebaliknya turut meliputi peringkat awal rantaian bekalan termasuk depoh penyimpanan bahan api bagi mengenal pasti sebarang faktor yang mempunyai kaitan dengan isu berkenaan.
“Setakat ini kita menerima 33 aduan daripada pengguna. Pemeriksaan ke atas stesen minyak berkaitan telah dilaksanakan termasuk pengambilan sampel bahan api untuk dianalisis.
“Sebagai sebahagian daripada siasatan, sampel bahan api telah diambil daripada pihak berkaitan termasuk sampel daripada pengguna, stesen minyak, kenderaan serta bengkel dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk tujuan analisis bagi menentukan kandungan serta kualiti bahan api berkenaan,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan kerja ke sebuah depoh bekalan minyak di Perai, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut mengambil lapan sampel daripada pengadu terawal bagi membantu proses siasatan, selain mendapatkan sampel daripada depoh terbabit.
Katanya, tempoh biasa untuk mendapatkan keputusan analisis Jabatan Kimia Malaysia adalah kira-kira sebulan, namun ia mungkin dapat dipercepatkan bergantung kepada proses analisis yang dijalankan.
“Kita dimaklumkan tempoh biasa kira-kira sebulan, namun mungkin boleh dipercepatkan kepada dua atau tiga minggu. Bagaimanapun, kita tidak boleh memberi tekanan kerana ia bergantung kepada proses analisis Jabatan Kimia,” katanya.
Beberapa hantaran di platform media sosial Threads minggu lalu kecoh dengan dakwaan enjin kenderaan pengguna gagal dihidupkan selepas mengisi bahan api di beberapa lokasi di bahagian utara, khususnya Pulau Pinang, sekali gus mencetuskan kebimbangan pengguna.
Menurut perkongsian pengguna, kenderaan yang sebelum ini berada dalam keadaan baik didakwa mengalami masalah sebaik selesai mengisi petrol sehingga timbul dakwaan kemungkinan bahan api tercemar termasuk bercampur air.
Dalam pada itu, Jegan menasihatkan pengguna supaya tidak membuat kesimpulan awal sehingga keputusan siasatan diperoleh.
“Kita belum boleh kata tercemar atau tidak tercemar. Kalau berlaku pencemaran, kita perlu tahu apa yang tercemar, bagaimana ia berlaku dan bila ia berlaku.
“Jangan membuat kesimpulan awal kerana siasatan masih dijalankan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pengguna yang mengalami masalah selepas mengisi minyak supaya membuat aduan rasmi kepada KPDN serta saluran bantuan syarikat minyak berkaitan bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dijalankan.
Katanya, setakat ini pihaknya belum menemui sebarang perkara yang berbeza daripada spesifikasi ditetapkan dan pengguna boleh menggunakan bahan api seperti biasa sementara menunggu keputusan siasatan.
IMedikel TV






