Home Buletin Semasa KPDN KELANTAN PANTAU PENYASARAN SUBSIDI PETROL

KPDN KELANTAN PANTAU PENYASARAN SUBSIDI PETROL

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan hari ini memulakan pemantauan di seluruh negeri bersempena pelaksanaan penuh Penyasaran Subsidi Petrol melalui Sistem Kad Penguatkuasaan Subsidi (SKPS) dan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, berkata semua pegawai penguat kuasa di peringkat negeri dan cawangan diarahkan membuat pemeriksaan di stesen minyak masing-masing bagi memastikan kelancaran pelaksanaan dasar tersebut.

“Antara fokus utama pemantauan adalah memastikan hanya pengguna berkelayakan membeli petrol RON95, mengelakkan penyalahgunaan kad pengenalan serta memastikan kenderaan berdaftar asing hanya mengisi RON97.

“Terdahulu, kementerian mengarahkan agar pelaksanaan ini dipantau secara berterusan bagi mengelakkan sebarang isu atau penyelewengan, selain menekankan penguatkuasaan dilaksanakan secara berhemah sepanjang tempoh awal ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa KPDN Kelantan akan meningkatkan publisiti melalui media arus perdana dan platform media sosial bagi memberi kesedaran kepada orang ramai tentang pelaksanaan program berkenaan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here