GUADALAJARA: Tentera Mexico mengumumkan pada Ahad bahawa mereka membunuh raja dadah yang berpengaruh, Nemesio “El Mencho” Oseguera dalam satu operasi yang mencetuskan gelombang keganasan di pelbagai bahagian negara.
Meemtik laporan AFP menerusi Harian Metro, Oseguera, ketua Kartel Generasi Baharu Jalisco yang berusia 59 tahun, cedera dalam pertempuran dengan askar di bandar Tapalpa, di negeri Jalisco, dan meninggal dunia semasa diterbangkan ke Bandar Mexico, kata tentera dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, lelaki itu dikehendaki dengan ganjaran AS$15 juta (kira-kira RM66 juta).
Lelaki bersenjata yang membalas serangan pihak berkuasa itu menyekat lebih 20 jalan raya di negeri barat Jalisco, termasuk Tapalpa, dengan kereta dan trak yang terbakar. Keganasan itu juga merebak ke negeri lain.
Presiden Mexico Claudia Sheinbaum menggesa rakyat supaya bertenang dan berkata, kerajaan pusat sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa negeri.
Oseguera, yang nama panggilannya “El Mencho,” ialah salah seorang raja dadah terbesar Mexico yang ditumpaskan sejak penangkapan pengasas kartel Sinaloa, Joaquin “El Chapo” Guzman dan Ismael Zambada. Kedua-duanya kini menjalani hukuman penjara di Amerika Syarikat (AS).
Kenyataan pada Ahad menyatakan bahawa selain daripada risikan tentera Mexico sendiri, serbuan itu dijalankan dengan “maklumat pelengkap” daripada pihak berkuasa AS.
Ia menyatakan enam suspek bersenjata kartel selain Oseguera terbunuh dan tiga askar cedera.
Dua suspek kartel ditangkap dan pelbagai senjata dirampas, termasuk pelancar roket yang mampu menjatuhkan kapal terbang dan memusnahkan kenderaan berperisai, kata kenyataan itu.
Ketika lelaki bersenjata menyekat jalan raya dengan keganasan balas dendam, negeri Jalisco, yang dijadualkan menjadi tuan rumah empat perlawanan Piala Dunia pada musim panas ini, membatalkan semua acara yang membabitkan orang ramai pada Ahad dan kelas secara bersemuka pada Isnin. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






