Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah, Wartawan Imedikel TV
KOTA BHARU: Syarahan Perdana A. Kadir Adabi 2023 memberi ruang menyampaikan ilmu dan pengetahuan kepada masyarakat agar lebih memahami tentang tokoh, sejarah dan sumbangan kepada negara.
Dalam ucapan Yang DiPertua (YDP) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK), Tengku Temenggong, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, program syarahan itu menimbulkan kesedaran mendalam dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda agar mengenali tokoh terkemuka tempatan dan menghargai jasa bakti.

“Saya juga difahamkan, program syarahan ini dilaksanakan sempena sambutan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) Peringkat Negeri Kelantan.
“Matlamat DMK adaLah untuk meningkatkan tabiat membaca bagi tujuan rekreasi dan literasi ilmu dalam melahirkan masyarakat yang berfikiran kritis, memupuk minat membaca serta menyokong pembelajaran sepanjang hayat ke arah mewujudkan masyarakat berbudaya membaca,” katanya dalam ucapan sempena program Syarahan Perdana A.Kadir Adabi sempena Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Kelantan 2023 di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji di sini, hari ini.

Program ini Kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui DBP Wilayah Timur, MAIK, dan Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN).
Tengku Mohd Rizam berharap keutuhan kerjasama itu akan berterusan dan diperkukuhkan lagi dari semasa ke semasa demi mencapai hasrat melahirkan generasi yang berilmu, memiliki jati diri, beradab dan berkeperibadian mulia.
Hadir sama, Mufti Negeri Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.
IMedikel TV






