Home Buletin Semasa KEMAS KELANTAN PERKASA KEMAHIRAN KOMUNITI LUAR BANDAR, LAHIR 173 USAHAWAN

KEMAS KELANTAN PERKASA KEMAHIRAN KOMUNITI LUAR BANDAR, LAHIR 173 USAHAWAN

Oleh: Afrizam Arif @I Medikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Kelantan terus memperkasa kemahiran komuniti luar bandar menerusi pelbagai latihan dan inisiatif keusahawanan bagi membantu peserta meningkatkan pendapatan serta daya saing.

Pengarah KEMAS Kelantan Wan Norlee Wan Ismail berkata, Hari Kemahiran KEMAS bukan sekadar medan pertandingan, sebaliknya platform mencungkil bakat dan mengangkat kebolehan peserta daripada peringkat komuniti hingga ke peringkat lebih tinggi termasuk antarabangsa.

Beliau berkata, kemahiran yang ditawarkan merangkumi lima bidang utama iaitu jahitan, masakan, dandanan diri, seni tangan dan komputer yang turut disesuaikan dengan perkembangan teknologi serta trend semasa.

“Kejayaan peserta kelas kemahiran KEMAS Kelantan dalam pertandingan World Chef Championship (WCC) di Johor Bahru baru-baru ini membuktikan latihan berkenaan mampu membuka peluang lebih luas, apabila dua peserta negeri itu masing-masing meraih pingat perak.

“Sebanyak 49 guru masakan memperoleh pingat emas dan perak dalam WCC, manakala KEMAS Kelantan masing-masing berjaya membawa pulang pingat perak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Hari Kemahiran Peringkat KEMAS Kelantan 2026, di sini, baru-baru ini.

Majlis turut dirasmikan Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Datuk Zawawi Othman dan dihadiri Pengarah Bahagian Pendidikan Kemahiran KEMAS Putrajaya, Dr Faridah Mat.

Wan Norlee berkata, KEMAS Kelantan kini mempunyai 173 usahawan bimbingan KEMAS dalam pelbagai bidang kemahiran yang menerima bantuan termasuk kit peralatan, pelabelan, latihan serta khidmat nasihat pemasaran.

Katanya, antara inisiatif baharu ialah projek Roti Kampung di Pusat Masakan Kuala Balah, Jeli yang melibatkan 15 peserta bagi memenuhi keperluan tujuh kelas Tabika KEMAS dan dirancang diperluas ke setiap daerah pada 2027.

Jelasnya, program SEKOCHI pula berjaya melibatkan 34 usahawan jahitan bimbingan KEMAS bersama Koperasi KEMAS Kelantan untuk menghasilkan hampir 15,000 uniform Tabika KEMAS pada tahun ini.

“Dalam bidang dandanan diri pula, projek Barberpreneur@KEMAS diperkenalkan sebagai projek rintis gunting rambut kanak-kanak tabika selain kelas solekan, penjagaan ibu bersalin dan SPA bagi membuka lebih banyak ruang keusahawanan kepada peserta,” katanya.

Katanya, usaha berkenaan membuktikan kemahiran KEMAS bukan sahaja memberi pengetahuan, malah mampu menjadi laluan kepada peserta membina kerjaya, meningkatkan pendapatan dan membawa hasil kemahiran komuniti luar bandar ke peringkat lebih tinggi.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here