Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kelantan mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya mengungguli keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 dengan Purata NilaiGred Keseluruhan (PNGK) 3.00, sekali gus mengatasi purata nasional sebanyak 2.85.
Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Mohd Hassany Hashim berkata, seramai 123 calon STPM 2024 di Kelantan mendapat PNGK 4.0 berbanding 90 calon pada tahun sebelumnya.
“Daripada jumlah tersebut sebanyak 56 calon memperoleh semua A bagi lima mata pelajaran yang diduduki manakala 67 calon lagi memperoleh empat A daripada empat mata pelajaran.
“Sebanyak 50 daripada 60 buah sekolah kerajaan berjaya mencapai keputusan 100 peratus manakala 10 buah sekolah lagi pencapaiannya ialah 95 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM Tahun 2024 di Bilik Mesyuarat Bunga Raya, JPN Tunjong, disini, hari ini.
Katanya, antara sekolah yang mencapai kelulusan penuh adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja, Pasir Mas dengan Gred Purata Sekolah (GPS) (3.43),SMK Dato’ Ahmad Maher (3.43) diikuti SMK Pengkalan Chepa 1 (3.41) dan lain-lain.
“Seramai 3,782 calon telah mendaftar bagi peperiksaan STPM 2024 di negeri ini, berbanding 4,030 calon pada tahun 2023, daripada jumlah itu, seramai 3,605 calon hadir menduduki peperiksaan, sedikit menurun berbanding 3,777 calon pada tahun sebelumnya, bagi calon persendirian pula, seramai tujuh orang telah mengambil bahagian pada tahun ini berbanding sembilan orang pada 2023.
“Peratusan kelulusan keseluruhan calon STPM 2024 di negeri ini mencatat 99.64 peratus, melibatkan 3,592 calon, berbanding 99.39 peratus atau 3,754 calon pada tahun 2023, angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.25 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Sementara itu, calon yang mendapat kelulusan empat dan lima prinsipal pada tahun 2024 adalah 85.29 peratus atau 3,072 calon berbanding pencapaian peringkat nasional iaitu 76.72 peratus atau 31,729 calon.
Tambahnya, seramai empat calon STPM 2024 dari negeri ini telah menerima Anugerah Pelajar Terbaik peringkat nasional daripada Majlis Peperiksaan Malaysia iaitu NurAmalina Osman, Nurnajwa Syafina Mohd Redzuan dan Muhammad Irham Mazlan, masing-masing dari SMK Tengku Panglima Raja, Pasir Mas, serta Ahmad Hakimi Sharifuddin dari SMK Sri Aman, Pasir Puteh.
IMedikel TV






