Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan memberi pengecualian bayaran permit sembelih bagi ternakan ruminan yang disembelih pada 10 dan 11 Zulhijjah sempena sambutan Aidiladha tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pengecualian itu diberikan dengan syarat penyembelihan dilakukan bagi tujuan perayaan atau adat sahaja.
“Langkah tersebut diambil bagi memudahkan urusan ibadah korban selain membantu masyarakat yang melaksanakan penyembelihan sepanjang musim Aidiladha.
“Bagaimanapun, kita mengingatkan setiap pemindahan ternakan antara jajahan dan antara negeri masih memerlukan permit pindah yang sah daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, tarikh akhir permohonan permit pindah ternakan telah ditetapkan pada 20 Mei lepas, manakala permohonan permit sembelih serta Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) pula telah berlalu bermula 10 hingga 21 Mei 2026, dibuat di Pejabat Veterinar Jajahan atau Pejabat Penggawa.
Katanya, langkah berkenaan penting bagi memastikan keselamatan daging korban sentiasa terjamin dan selamat dimakan orang ramai.
IMedikel TV






