Home Buletin Semasa BEKALAN TERNAKAN KORBAN MENCUKUPI MENJELANG SAMBUTAN HARI RAYA AIDILADHA RABU INI –...

BEKALAN TERNAKAN KORBAN MENCUKUPI MENJELANG SAMBUTAN HARI RAYA AIDILADHA RABU INI – KPKM

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjangkakan bekalan ternakan korban bagi sambutan Hari Raya Aidiladha di seluruh negara tahun ini mencukupi bagi memenuhi keperluan semasa.

Menurut kenyataan KPKM, berdasarkan statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) sehingga April lalu, stok lembu dan kerbau tempatan direkodkan sebanyak 35,127 ekor manakala bekalan import sebanyak 16,845 ekor.

“Jumlah keseluruhan bekalan ternakan bagi tujuan korban adalah 51,972 ekor, melebihi anggaran keperluan institusi seperti masjid, surau dan rumah sembelih iaitu 40,420 ekor.

“Bekalan kambing dan bebiri tempatan pula sebanyak 25,815 ekor, manakala bekalan yang diimport adalah 4,232 ekor.

“Jumlah keseluruhan bekalan ternakan adalah 30,047 ekor, jumlah itu melebihi unjuran permintaan semasa iaitu 22,424 ekor,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Jelasnya, KPKM memberi jaminan bahawa jumlah keseluruhan bekalan ternakan dalam negara amat mencukupi bagi menampung permintaan sembelihan bagi tujuan korban tahun ini.

Di samping itu, dari aspek kesiapsiagaan infrastruktur, sebanyak 27 buah rumah sembelih milik DVS di seluruh Semenanjung Malaysia sedia untuk beroperasi bagi tujuan penyembelihan ternakan korban.

Dalam pada itu, DVS turut mengeluarkan lesen kepada 43 buah rumah sembelih swasta di Semenanjung Malaysia sehingga 16 Mac lalu bagi menawarkan perkhidmatan penyembelihan yang sah kepada masyarakat.

”Bagi aktiviti penyembelihan korban yang ingin dijalankan di luar kawasan rumah sembelih seperti di masjid, surau, sekolah, kawasan perumahan dan tempat awam, pihak penganjur diwajibkan untuk mengemukakan permohonan permit penyembelihan luar bersama dokumen berkaitan bagi mendapatkan kelulusan.

“Pihak kementerian turut menyarankan agar orang ramai sentiasa merujuk kepada Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban yang dikeluarkan oleh DVS sebagai rujukan asas bagi memastikan seluruh proses pelaksanaan ibadah korban berjalan dengan lancar dan mematuhi standard yang ditetapkan,” jelasnya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here