Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Sebuah kedai bateri di Jalan Yakobiah, Lundang di sini musnah dalam kejadian kebakaran kira-kira jam 5.30 petang semalam.
Pegawai Bomba Kanan II Nazaruddin Ismail berkata, pihaknya segera mengarahkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu bergerak ke tempat kejadian sejurus panggilan diterima.
“Sebaik menerima panggilan, semua anggota bomba bergegas dan tiba di lokasi pada jam 5.39 petang.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah lot kedai separuh kekal dengan kemusnahan 60 peratus,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Jelasnya, bagaimanapun kejadian itu tidak membabitkan kecederaan dan kemalangan jiwa.
Tambahnya, operasi itu turut dibantu 17 anggota dari BBP Pengkalan Chepa dan Kota Darul Naim serta melibatkan enam jentera iaitu tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua lori tangki dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
IMedikel TV






