Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysian mengeluarkan kenyataan amaran banjir di Kelantan hari ini.
Menurut kenyataan JPS melalui portal Public InfoBanjir, susulan amaran hujan berterusan tahap buruk oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam serta status air sungai yang diramalkan menaik dan akan melebihi paras bahaya, diramalkan banjir akan berlaku di beberapa lokasi di negeri ini bermula Selasa hingga Rabu ini.
Jelas kenyataan itu, antara kawasan yang diramalkan terjejas adalah di jajahan Tumpat membabitkan kawasan rendah dalam lingkungan 5 kilometer (km) di sekitar Sungai Kelantan iaitu Padang Rokma, Bechah Temalang dan Chenderong Batu.
Manakala dua kawasan rendah dalam lingkungan 5km di sekitar Sungai Golok juga di jajahan Tumpat termasuk Kampung Kok Kebit dan Taman Sri Bayu turut diramalkan terjejas.
Seterusnya 13 lagi kawasan rendah yang berada dalam lingkungan 5km di sekitar Sungai Golok turut diramalkan banjir.
Menurut kenyataan, 13 kawasan tersebut adalah Kampung Pak Keral, Kampung Kok Bedullah, Kampung Nechang, Kampung Pauh Sebanjar, Kampung Neting, Kampung Tujuh, Kubang Sawa, Kajang Sebidang, Teluk Jering, Naga Ibu, Pisau Raut, Bendang Pak Yong dan Simpangan di daerah Tumpat.
“Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari mas ayang dijangkakan.
“Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir lebih berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir,”jelas kenyataan itu.
IMedikel TV






