Oleh: Afrizam Arif, Wartawan IMedikel TV
PASIR MAS: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 11 motosikal terpakai yang diseludup bernilai RM42,113.50 termasuk cukai di Sungai Golok dan Bukit Bunga, Tanah Merah pada 24 dan 26 September lalu.
Pemangku Pengarah JKDM Kelantan, Koh Joo Kai berkata rampasan tersebut sekali gus membongkar taktik membawa masuk motosikal terpakai jenis Yamaha RXZ dari negara jiran menggunakan sampan.
“Kedua-dua serbuan tersebut membawa kepada rampasan 12 motosikal yang terdiri dari empat Yamaha RXZ, lima Yamaha RX (5), sebuah Cryptonx buatan Thailand, sebuah Honda LC135 dan sebuah Honda Wave.
“Dalam tempoh dua hari, kami membuat risikan sebelum menyerbu sebuah bengkel yang dijadikan tempat penyimpanan motosikal terpakai dari negara jiran,” katanya pada sidang media di Pejabat Penguakuatkuasa JKDM Rantau Panjang di sini, hari ini.
Menurutnya hasil siasatan mendapati kesemua motosikal berkenaan tidak mempunyai nombor pendaftaran Malaysia selain turut diubah suai dipercayai bagi memenuhi permintaan pelanggan tempatan.
Koh berkata pihaknya masih meneruskan siasatan bagi mengesan pemilik motosikal serta pemilik bengkel bagai mengenal pasti Orang Yang Disyaki (OYDS) yang terbabit dalam penyeludupan motosikal terpakai ini.
“Mereka menggunakan modus operandi dengan membawa motosikal melalui laluan sungai menggunakan bot atau sampan ke pangkalan haram sebelum dibawa ke bengkel.
“Siasatan masih diteruskan bagi mengesan pemilik motosikal dan pemilik bengkel dan kes ini disiasat dibawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.
Beliau berkata modus operandi dalam kes tersebut ialah menggunakan laluan sungai, bot atau sampan bagi membawa masuk ke pengkalan haram kemudian dibawa ke rumah (bengkel) sebelum diedarkan kepada pelanggannya.
Katanya kes tersebut adalah pertama tahun ini dan pihaknya terus melakukan risikan untuk mengambil tindakan selanjutnya berikutan kegiatan ini boleh merugikan negara.
IMedikel TV






