Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
BACHOK: Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan Islam Kampung Mujor, Jelawat, di sini apabila jenazah kanak-kanak, Muhammad Ammar Muhammad Badrul, 7, yang meninggal dunia akibat dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya selamat dikebumikan malam tadi.
Pengebumian selesai pada jam 10.50 malam dengan iringan lebih 100 ahli keluarga termasuk penduduk kampung yang hadir.
Bapanya, Muhammad Badrul Remli, 31, memeluk kaku jasad anaknya sebaik dibawa turun dari kenderaan, sementara ibunya, Nur Ayuni Mohd Kamarulzaman, 29, menangis sepanjang pengebumian.

Terdahulu, Muhammad Ammar disahkan meninggal dunia pada jam 3.02 petang semalam di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian sebelum jenazah dibawa pulang ke rumah bapa saudaranya pada jam 10.30 malam di Kampung Mujor untuk disolatkan.
Sepupunya, Amirul Nizam Saiful Bahari, 25, berkata allahyarham pernah menyuarakan keinginan untuk tinggal bersama ibunya di Terengganu beberapa minggu lalu, namun tidak kesampaian.
“Dia pernah maklumkan mahu mengikut ibunya bersekolah di Terengganu, itu antara hasrat terakhir yang sempat dikongsikan.
“Namun, allahyarham perlu menamatkan sesi persekolahan tahun ini di Kelantan sebelum berpindah pada tahun depan,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian, malam tadi.
Amirul Nizam menyifatkan Muhammad Ammar mempunyai perwatakan lembut, tidak agresif serta disenangi oleh keluarga dan rakan-rakannya.
Media melaporkan pada Khamis lalu, Muhammad Ammar cedera parah selepas dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya, suspek berusia 46 tahun di sebuah rumah kedai di Pasar Jelawat.
Suspek kemudian bertindak melarikan diri dan ditemui meninggal dunia di Pantai Melawi tiga kilometer dari tempat kejadian.
IMedikel TV






