BANGI: “Alhamdulillah, sudah selesai semuanya. Lancar dan tiada sebarang masalah. Hari ini pun, hanya lafaz cerai sahaja dan hadanah (hak penjagaan anak), itu proses lain,” katanya Nur Mohd Iqwan Samsudin, 42.
Memetik laporan menerusi Harian Metro terdahulu, Iqwan ditemui media selepas lafaz cerai dibuatnya terhadap bekas isteri iaitu penyanyi Zehra Zambri, 38, dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat di sini, hari ini.
“Saya takut juga tadi, kalau dia (Zehra) ‘datang bulan’ lagi. Tapi, Alhamdulillah saya dah dapat kotakan janji. Apatah lagi, saya juga sudah ikut Majlis Tahkim sebelum ini dan mengarahkan lafaz cerai pada hari ini.
“Jadi, saya hadir ini untuk saya bagilah apa yang dia nak iaitu perceraian selama beberapa bulan ini. Alhamdulillah, proses berlangsung dengan baik sekali,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya juga mengenai hubungan baik dengan bekas isteri selepas ini demi kebahagiaan dan kasih sayang anak, Iqwan berkata, hakim pun ada menasihatkan dan mengingatkan mereka untuk berbaik-baik untuk urusan anak.
“Memang hakim ada nasihati (berbaik demi anak). Hubungan kekal untuk menguruskan anak. Cuma, saya belum lagi pergi berjumpa dengan anak buat masa ini.
“Tapi, disebabkan kita sudah bercerai, jadi proses itu (urusan anak) akan jadi lebih mudahlah. Kita akan ada proses hadanah (hak penjagaan anak), ada masa tertentu yang saya boleh pergi melawat dan sebagainya,” katanya.
Iqwan dan Zehra sah bercerai talak satu pada jam 10.30 pagi ini di hadapan Hakim Syarie, Wan Nurulddin Wan Hussain di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat di sini.
Pada 14 Julai lalu, Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat menetapkan urusan perceraian antara Zehra dan Iqwan akan dibuat menerusi lantikan hakam oleh mahkamah.
Lafaz cerai pasangan ini sepatutnya berlaku pada 13 Ogos, namun ditangguhkan kepada tarikh hari ini kerana Zehra berada dalam keadaan tidak suci ketika itu.
Zehra memfailkan permohonan cerai terhadap Iqwan pada 7 Mac lalu dengan memfailkan lima tuntutan terhadap lelaki itu, antaranya dakwaan berkaitan nafkah dan berlaku keganasan dalam rumah tangga.
Sebelum ini juga, hasil daripada pembentangan keputusan Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) kepada pihak mahkamah mendapati ada berlaku ‘Shiqaq’ iaitu tiada persefahaman yang berpanjangan.
Zehra dan Iqwan mendirikan rumah tangga pada 10 November 2021. Hasil perkahwinan berkenaan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Zahiyah Iqleela, 3. – HM Online –
IMedikel TV






