Home Hiburan INTEAM BALAS BUDI PEMINAT

INTEAM BALAS BUDI PEMINAT

38
0

KUALA LUMPUR: Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, malam tadi bergema dengan selawat dan dendangan nostalgia pada Konsert Inteam Nur Kasih sempena ulang tahun ke-25 kumpulan nasyid popular, Inteam.

Memetik laporan Berita harian, pada konsert bermula jam 9 malam itu, peminat dibawa mengimbau kenangan lagu malar segar termasuk karya yang dirakam buat kali terakhir bersama Allahyarham Suhaimi Saad, iaitu single Impian Kekasih.

Konsert itu bukan sekadar menjejaki evolusi Inteam, malah, tanda solidariti kepada rakyat Palestin dan insan yang memerlukan.

Terus menerapkan mesej mengenai perjuangan buat Palestin, Inteam juga menunaikan tanggungjawab sosial dengan menyumbang kepada golongan memerlukan, lantas menunjukkan keprihatinan berterusan.

Pada konsert itu, Inteam menyerahkan sumbangan bernilai RM10,000 kepada Persatuan Kebajikan Al-Fikrah Malaysia. Sumbangan itu adalah atas pemberian anggota Inteam, Datuk M Nasir yang hadir sebagai artis undangan dan penganjur konsert, Icon Entertainment.

Tidak hanya itu, pakej penuh umrah dihadiahkan kepada enam peminat bertuah, selain 10 baucar haji, jam tangan dan sebuah motorsikal.

Empat anggota Inteam, iaitu Mohd Syahril Abdul Khalid, Abdul Rahim Osman, Hisyam Ahmad dan Hazamin Harun masing-masing mengaku apa yang disajikan di pentas adalah tanda penghargaan kepada peminat.

Pada konsert itu, Inteam mendendangkan rangkaian lagu, antaranya, Dia Muhammad, Kasih Kekasih, Siti Khadijah, Ya Rabbi Ya, Bisikan Nurani, Rabiatul Adawiyah, Mulakan Hari Ini, Kasihku Abadi dan Kalimah Cinta.

Turut dipersembahkan Surat Cinta, Az Ziarah, Pemergianmu, Tuhan Yang Esa, Damba Kasih, Sutera Kasih, Impian Kasih, Ratu Syahadah, Satukan Kami Di Syurga, Dia, Setanggi Syurga dan Nur Kasih.

Bersama M Nasir, Inteam mendendangkan lagu Perjalanan dan Bonda.

Selain M Nasir, Inteam turut mengundang bekas anggota Raihan, Nazrey Johani dan Zizi Kirana sebagai artis undangan.

Zizi menyanyikan lagu Wahsini yang dipopularkan penyanyi Waheeda, selain Perang Dah Tamat yang didedikasikan untuk rakyat Palestin. Nazrey tampil dengan lagu Puji Pujian dan Kehidupan. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here