Home Hiburan INA NAIM BERI GALAKAN BUAT ANAK SAMBUNG LEGASI ARWAH SUHAIMI SAAD

INA NAIM BERI GALAKAN BUAT ANAK SAMBUNG LEGASI ARWAH SUHAIMI SAAD

241
0

KUALA LUMPUR: Ina Naim, 41, membenarkan anak sulungnya, Hadie menyertai program nyanyian Talk To My Manager (TTMM) bagi meneruskan legasi Allahyarham ayahnya, Suhaimi Saad.

Memetik laporan harian Metro, Ina atau nama sebenarnya, Nordiana Mohd Naim berkata, dia menyokong penuh anaknya menyanyi dan menggunakan TTMM sebagai platform untuk mengetengahkan Hadie dalam industri seni tanah air.

“Ia adalah peluang terbaik Hadie untuk sambung perjuangan seni arwah suami. Dulu, masa arwah ayahnya masih ada, pernah juga dapat tawaran program seperti ini, tapi sebab sakit dan jarak yang jauh, dia tolak.

“Kali ini Allah beri peluang pada anak pula. Kalau tidak dapat harumkan nama ibu, harumkanlah nama ayah. Dalam setiap persembahan, ingatkan arwah ayah. Buat yang terbaik.

“Saya juga sentiasa pantau Hadie setiap masa. Walaupun sibuk dengan aktiviti dan menyanyi, saya dapati dia masih solat dan ikut apa yang diajar dan dipesan ayahnya,” katanya ditemui pada sidang media program Talk To My Manager terbitan Astro di Royale Chulan Hotel, di sini, semalam.

Menurutnya lagi, dia tidak kisah sekiranya berdepan kritikan dan kecaman berhubung keputusan ini. “Saya sememangnya sudah lali dengan pujian dan kecaman netizen dan kali ini buka ruang buat Hadie pula melalui situasi itu.

“Ia sebagai satu ujian untuknya supaya bersedia apabila melangkah masuk dalam industri nanti,” katanya.

Sementara itu, Hadie atau Ehmad Hadie Elfardie, 17, berkata, dia mahu mengharumkan nama keluarga sebagai cara melunaskan pesanan terakhir dititipkan arwah bapanya.

“Memang betul saya mahu sambung legasi ayah. Itu antara hasrat terakhirnya kepada kami. Dia mahu anak-anaknya menyambung perjuangan seni terutama dalam bidang nasyid yang ditinggalkan.

“Saya sertai program ini juga kerana mahu membanggakan ibu yang sudah banyak berkorban membesarkan saya. Jadi, saya bertekad mahu memulakan semula karier nyanyian yang pernah ayah tinggalkan.

“Harapan saya cuma satu, saya mengharumkan nama kedua orang tua, walaupun sekarang ini saya masih lagi belajar,” katanya.

Hadie berkata, antara pesanan ditinggalkan Allahyarham Suhaimi yang masih segar diingatan adalah untuk sentiasa menerapkan elemen dakwah walaupun dalam hiburan.

“Arwah ayah pesan supaya seni tidak lari daripada dakwah. Dalam nyanyian pun boleh diselitkan mesej kebaikan.

Terdahulu Ina berkahwin dengan Allahyarham Suhaimi pada 12 Ogos 2007. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony.

Ina kemudian bergelar ibu tunggal selepas Allahyarham Suhaimi meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru pada 15 November 2023.

Pada 8 November 2024, pintu hati Ina kembali terbuka apabila mendirikan rumah tangga bersama Mohd Khairul Rizal yang berstatus duda dan memiliki dua anak. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here