Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: IMedikel Pharma Holding Berhad (IMPHB) bersama Institut Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMKEI) bakal melaksanakan program perintis keusahawanan strategik bagi melahirkan usahawan pelajar berkualiti tinggi menerusi bimbingan industri, pembangunan produk sebenar serta sokongan kewangan.
Program julung kali hasil kolaborasi industri dan institusi pengajian tinggi itu akan membabitkan pemilihan sekitar 20 pelajar UMK, sebelum melalui proses saringan ketat bagi memilih satu atau dua peserta terbaik untuk dibangunkan sebagai usahawan berpotensi tinggi.
Penolong Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran Korporat IMPHB, Mohd Firdaus Mohamed Yusoff, berkata program itu memberi penekanan kepada kualiti berbanding kuantiti, dengan modul bimbingan intensif dikendalikan oleh pihak industri serta usahawan berpengalaman.

“Melalui kerjasama antara IMedikel selaku wakil sektor industri dan UMK sebagai institusi pengajian tinggi, kita berhasrat melahirkan usahawan pelajar yang benar-benar bersedia dari segi ilmu, kemahiran dan pendedahan dunia sebenar perniagaan.
“Pelaksanaan program perintis itu dirancang bermula April tahun ini dengan sokongan modul daripada kedua-dua pihak,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Perbincangan UMK Bersama Imedikel di Wisma Telipot, di sini, hari ini.
Mohd Firdaus berkata pihak IMedikel berharap kolaborasi yang dirancang itu dapat direalisasikan sepenuhnya dan diteruskan pada masa hadapan bagi memastikan kerjasama strategik antara pihak industri dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA), khususnya UMKEI, dapat diperkukuh serta berpanjangan.
Sementara itu Pengarah Pusat Pembangunan dan Pendidikan Keusahawanan (CEED) Universiti Malaysia Kelantan, Dr. Mohd Safwan Ghazali, berkata program perintis keusahawanan yang bakal dilaksanakan hasil Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMK dan IMedikel itu akan menawarkan tajaan pembangunan produk.
“Program ini bukan sekadar melahirkan usahawan produk, tetapi usahawan yang berilmu, beretika dan mampu menyumbang kepada ekonomi serta masyarakat.
“Kita berharap program ini dapat dilaksanakan secara berterusan dan diperluaskan ke peringkat nasional serta antarabangsa,” katanya
Beliau berkata, pihaknya berharap program perintis keusahawanan itu dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat bagi melahirkan lebih ramai usahawan muda yang beretika serta berdaya saing, sekali gus mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
“Keusahawanan wajar dijadikan pilihan kerjaya utama dalam kalangan pelajar kerana impaknya bukan sahaja kepada individu, malah turut memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan.
“Saya berharap program perintis ini bukan sekadar dilaksanakan untuk fasa 1.0, malah dapat diperluaskan kepada fasa 2.0 dan 3.0 serta diangkat ke peringkat lebih besar sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata kerjasama strategik tersebut turut merangkumi persediaan pelajar UMK untuk menyertai pertandingan keusahawanan peringkat nasional yang dijadualkan berlangsung pada April depan.
Menurutnya, perbincangan bersama IMedikel memberi pendedahan penting kepada pelajar berkaitan proses Original Equipment Manufacturer (OEM), sekali gus membantu meningkatkan kualiti produk yang dibangunkan sebelum dibawa ke pertandingan Business Combat 2026 anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang membabitkan lebih 40 pasukan daripada IPTA seluruh negara.
“IMedikel memberikan input yang sangat bermanfaat, khususnya dalam aspek pembangunan produk dan persediaan pelajar untuk ke pertandingan tersebut,” katanya.
“UMK akan diwakili oleh satu pasukan terdiri daripada empat pelajar gabungan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan serta Fakulti Industri Asas Tani yang sedang membangunkan produk kosmetik dan kecantikan di bawah jenama Blooming Seed,”katanya.
Dr. Mohd Safwan berkata produk berkenaan merangkumi kosmetik, lip make-up dan face oil yang masih berada di peringkat pembangunan, namun diyakini mampu dipertingkatkan kualitinya melalui kerjasama strategik bersama IMedikel.
Hadir sama Ketua Pegawai Kewangan, Syahrul Azlan Mahmood.
IMedikel TV






