Home Sukan IGA RAIH GELARAN PERTAMA DI CINCINNATI

IGA RAIH GELARAN PERTAMA DI CINCINNATI

351
0

CINCINNATI: Iga Swiatek mengukuhkan reputasi menjelang Terbuka Amerika Syarikat (AS) apabila menjuarai Terbuka Cincinnati buat kali pertama selepas menewaskan Jasmine Paolini 7-5, 6-4, awal pagi tadi.

Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metrio, bintang Poland yang juga pilihan ketiga itu tidak kehilangan sebarang set sepanjang kejohanan dan tampil cukup klinikal di pentas final dengan menyempurnakan semua enam peluang break point untuk merangkul gelaran WTA 1000 ke-11, sekali gus mengakhiri kemarau sejak Terbuka Itali tahun lalu.

Iga kini berada di kedudukan kedua terbanyak memenangi gelaran WTA 1000, di belakang legenda Serena Williams (23).

“Saya mahu berterima kasih kepada pasukan saya. Saya tidak sangka boleh menang dalam kejohanan seperti ini di permukaan pantas. Saya benar-benar terkejut dan amat gembira,” kata juara enam kali Grand Slam itu.

Jasmine bermula garang apabila mendahului 3-0, namun Iga bangkit dengan lima permainan berturut-turut sebelum menutup set pertama pada percubaan kedua.

Momentum itu diteruskan pada set kedua apabila dia menyelamatkan dua break point pada kedudukan 4-3 sebelum menamatkan perlawanan dengan servis kencang, sekali gus mengekalkan rekod sempurna 6-0 menentang pemain Itali itu.

Kemenangan itu memastikan juara Wimbledon berkenaan kembali menduduki ranking nombor dua dunia, sekali gus mengesahkan status pilihan kedua di Flushing Meadows hujung minggu ini.

Iga juga dijangka bergandingan dengan Casper Ruud dari Norway dalam acara beregu campuran yang diperkenalkan buat kali pertama di Terbuka AS. – REUTERS, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here