DETROIT: Mahkamah Persekutuan mengarahkan pembebasan Adrian Conejo Arias dan anak lelakinya, Liam Conejo Ramos, yang tular ketika ditahan oleh pegawai imigresen dalam serbuan di Minnesota.
Menurut Sekolah Awam Columbia Heights, kanak-kanak yang berusia lima tahun itu, adalah salah seorang daripada empat pelajar yang ditahan oleh pegawai imigresen awal bulan ini di sebuah pinggir bandar Minneapolis.
Memetik laporan Reuters melalui Berita Harian, Hakim Fred Biery, dalam penghakiman, berkata kes itu berpunca daripada usaha kerajaan yang tidak difikirkan secara matang dan dilaksanakan secara tidak cekap dalam mengejar kuota pengusiran harian, walaupun ia mengakibatkan trauma terhadap kanak-kanak.
“Pada akhirnya, pihak pemohon mungkin, disebabkan sistem imigresen Amerika Syarikat (AS) yang rumit, akan kembali ke negara asal sama ada secara tidak sukarela atau dilakukan secara sendiri.
“Namun, keputusan itu sepatutnya berlaku melalui dasar yang lebih teratur dan berperikemanusiaan daripada apa yang sedang dilaksanakan ketika ini,” katanya.
Kanak-kanak lelaki warga Ecuador itu dan bapanya, yang memasuki AS secara sah sebagai pemohon suaka, kini dihantar ke sebuah pusat tahanan keluarga di Dilley, Texas.
Pegawai bersenjata dan bertopeng turut menahan dua remaja berusia 17 tahun dan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun selain Liam. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






