FLORENCE: Inter Milan diikat 1-1 oleh Fiorentina sekali gus menghidupkan semula perebutan gelaran Serie A.
Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, keputusan itu menyaksikan kelebihan Inter di puncak liga kini hanya enam mata selepas kemenangan AC Milan ke atas Torino sebelum ini.
Inter bermula garang apabila mendahului seawal 39 saat menerusi tandukan Francesco Pio Esposito hasil hantaran Nicolo Barella.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan pada separuh masa pertama, namun beberapa percubaan termasuk daripada Moise Kean gagal menghasilkan gol.
Fiorentina akhirnya menyamakan kedudukan pada minit ke-77 apabila Cher Ndour mudah menolak masuk bola muntah selepas percubaan Albert Gudmundsson ditepis penjaga gol Yann Sommer.
Tuan rumah hampir mencipta kejutan apabila terus mengasak, namun peluang Jack Harrison sekadar tersasar.
Inter pula hampir meraih kemenangan pada saat akhir, tetapi percubaan Esposito berjaya diselamatkan dengan cemerlang oleh penjaga gol David de Gea.
Penolong jurulatih Inter, Aleksandar Kolarov, mengakui pasukannya tidak berada pada prestasi terbaik.
“Kami tahu tiga mata sangat penting, tetapi kami tidak bermain pada tahap terbaik. Namun, semuanya masih dalam kawalan kami,” kata Kolarov.
Sementara itu, pengendali Fiorentina Paolo Vanoli memuji semangat juang pasukannya yang kini berada di tangga ke-16 dengan 29 mata, dua mata di atas zon penyingkiran. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






