CORNELLA DE LLOBREGAT, SEPANYOL: Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, Persekutuan Bolasepak Diraja Sepanyol (RFEF) dan jurulatih Luis de la Fuente mengecam sorakan anti-Islam yang mencemari keputusan seri 0-0 menentang Mesir pada aksi persahabatan antarabangsa menjelang Piala Dunia, awal pagi tadi.
Lagu kebangsaan Mesir diejek oleh sebahagian penyokong, manakala sistem pengumuman awam di Stadium RCDE beberapa kali menggesa penonton menghentikan sebarang kata-kata berunsur menghina.
Insiden itu menjadi yang terbaharu dalam siri kejadian yang mencalar imej bola sepak Sepanyol sejak beberapa tahun lalu, termasuk kes penghinaan berbaur perkauman terhadap penyerang Real Madrid, Vinicius Junior.
“Kami mengutuk tindakan seperti ini dan ia tidak sepatutnya berulang,” kata Presiden RFEF, Rafael Louzan.
Beliau menyifatkan insiden berkenaan sebagai “kejadian terpencil dan khusus.”
De la Fuente turut mengecam tindakan sebahagian daripada 35,000 penyokong yang hadir.
“Ia tidak boleh diterima,” katanya kepada wartawan.
“Individu ganas menggunakan bola sepak untuk menonjolkan diri.
“Mereka perlu disingkirkan daripada masyarakat, dikenal pasti dan dijauhkan sejauh mungkin,” tegas jurulatih berusia 64 tahun itu.
Perlawanan di Catalonia itu dipindahkan dari Qatar susulan konflik Asia Barat dan berlangsung dalam suasana tegang sejak awal.
Juara Eropah itu turut tumpul di jentera serangan dalam aksi persahabatan kedua terakhir di laman sendiri sebelum berdepan Cape Verde, Arab Saudi dan Uruguay dalam Kumpulan H pada Piala Dunia di Amerika Utara musim panas ini.
Sepanyol dilaporkan akan menentang Iraq pada 4 Jun sebelum berdepan Peru di Mexico empat hari kemudian bagi aksi pemanas badan terakhir menjelang Piala Dunia. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






