Home Sukan EZE SENDIRI HUBUNGI ARTETA, HAMPIR SERTAI SPURS

EZE SENDIRI HUBUNGI ARTETA, HAMPIR SERTAI SPURS

273
0

LONDON: Mikel Arteta mendedahkan Eberechi Eze sendiri menghubunginya ketika dia hampir menyertai Tottenham Hotspur.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, Arsenal memalukan seteru utara London mereka pertengahan minggu ini selepas mencapai persetujuan asas dengan Crystal Palace untuk menandatangani Eze.

Eze kelihatan sudah hampir pasti menyertai Spurs selepas kelab itu menghabiskan 10 hari berunding untuk mendapatkan pemain berusia 27 tahun itu dengan nilai £55 juta (RM314 juta) ditambah klausa tambahan namun Arsenal masuk campur pada saat akhir dengan bidaan bernilai £67.5 juta (RM385 juta).

Perpindahan Eze ke Arsenal dimuktamadkan malam tadi dan dia diperkenalkan kepada penyokong sebelum kemenangan 5-0 The Gunners ke atas Leeds.

Menurut laporan The Athletic, Eze menghubungi Arteta ketika dia hampir menandatangani kontrak bersama Tottenham.

Apabila ditanya mengenai kebenaran laporan itu, Arteta menjawab: “Itu membuktikan betapa dia mahu datang ke sini.

“Kadang-kadang perkara sebegini memang berbeza kerana anda mahu sentiasa terbuka dan telus dengan pemain, kerana mereka perlu membuat keputusan penting dalam karier mereka. Tetapi saya amat gembira mendapatkannya.

“Saya boleh katakan betapa bermaknanya ini bagi dirinya dan seluruh keluarganya.”

Difahamkan Spurs sebenarnya sudah mencapai persetujuan dengan Palace Rabu lalu, termasuk terma peribadi bersama Eze yang ketika itu memang cenderung menyertai kelab berkenaan.

Namun Palace mahu Eze terus bersedia bagi aksi play-off Liga Konferens UEFA menentang kelab Norway, Fredrikstad pada Khamis lalu sekali gus memberi ruang kepada Arsenal untuk membuat tawaran saat akhir.

Akhirnya Eze tidak beraksi. Pengurus Palace, Oliver Glasner pada awalnya menjangka Eze akan diberi penampilan perpisahan, tetapi pemain itu memaklumkan dia kurang sihat pada pagi hari perlawanan.

Eze menandatangani kontrak empat tahun bersama Arsenal dengan pilihan lanjutan setahun dan akan memakai jersi nombor 10.

Dia berkemungkinan melakukan penampilan sulungnya apabila Arsenal berkunjung ke Anfield menentang pencabar kejuaraan, Liverpool, Ahad depan. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here