PARIS: Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian suhu beku yang melanda sebahagian besar Eropah menyebabkan gangguan meluas terhadap pergerakan dan perjalanan di seluruh benua itu.
Setakat semalam, enam individu dilaporkan maut dalam kemalangan berkaitan cuaca ketika Eropah berdepan gelombang sejuk paling teruk setakat musim sejuk ini.
Sejak suhu menjunam semalam, lima kematian direkodkan di Perancis manakala seorang wanita maut di Bosnia apabila salji tebal dan hujan lebat mencetuskan banjir serta gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan di rantau Balkan.
Dua lapangan terbang utama Paris, Roissy–Charles de Gaulle dan Orly, membatalkan banyak penerbangan awal pagi Rabu bagi membolehkan kru darat membersihkan salji di landasan dan menjalankan proses nyahais pada pesawat.
Sebanyak 40 peratus penerbangan pagi di Lapangan Terbang Charles de Gaulle dibatalkan, manakala 25 peratus penerbangan di Orly turut dibatalkan.
Di Britain, suhu menjunam sehingga -12.5 darjah Celsius di Norfolk, timur England, pada kelmarin dan semalam, manakala suhu di bawah -10 darjah Celsius di seluruh Belanda menyebabkan perkhidmatan kereta api terhenti sepenuhnya pagi semalam.
Pejabat Meteorologi Britain memaklumkan semalam adalah malam paling sejuk setakat musim sejuk ini, dengan seluruh United Kingdom berada dalam keadaan berjaga-jaga terhadap salji dan ais serta lebih banyak salji diramalkan.
Keadaan sejuk melampau turut menjadikan jalan raya licin dan berbahaya.
Tiga individu maut dalam kemalangan akibat ais hitam di barat daya Perancis pada pagi Isnin, menurut pihak berkuasa.
Seorang pemandu teksi pula meninggal dunia di hospital pada malam yang sama selepas kenderaannya terbabas dan terjunam ke Sungai Marne di wilayah Paris.
Penumpangnya masih menerima rawatan akibat hipotermia, menurut sumber polis.
Seorang lagi pemandu maut di timur Paris pada Isnin selepas bertembung dengan sebuah kenderaan berat.
Di Belanda, Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam, hab penerbangan utama negara itu, mencatat hari kedua pembatalan penerbangan akibat cuaca buruk, dengan sekurang-kurangnya 600 penerbangan dibatalkan dan penumpang berdepan barisan panjang di kaunter syarikat penerbangan.
Syarikat penerbangan Belanda, KLM, yang bertanggungjawab melakukan proses nyahais ke atas kebanyakan pesawat di Schiphol, memberi amaran bahawa bekalan cecair nyahais hampir kehabisan, sambil menyalahkan keadaan cuaca yang “melampau” serta kelewatan bekalan.
Perkhidmatan kereta api yang dikendalikan operator nasional Belanda, NS, hanya mula beroperasi semula selepas jam 10 pagi (waktu tempatan), dengan perkhidmatan terhad selepas itu.
Bagaimanapun, penerbangan kembali beroperasi dari Liverpool di barat laut England dan Aberdeen di timur laut Scotland selepas kedua-dua lapangan terbang itu ditutup pada Isnin berikutan cuaca sejuk melampau. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






