Home Buletin Semasa DUA VESEL NELAYAN VIETNAM GUNA NOMBOR PENDAFTARAN KLON DITAHAN, RAMPASAN CECAH RM2.4...

DUA VESEL NELAYAN VIETNAM GUNA NOMBOR PENDAFTARAN KLON DITAHAN, RAMPASAN CECAH RM2.4 JUTA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kelantan menahan dua vesel nelayan asing bersama 30 warganegara Vietnam kerana disyaki menggunakan nombor pendaftaran vesel nelayan tempatan atau lebih dikenali sebagai ‘bot klon’ di perairan negara pada Rabu lalu.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, kedua-dua vesel berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan kira-kira 137 dan 148 batu nautika dari timur Muara Tok Bali.

Menurutnya, tangkapan pertama membabitkan vesel bernombor pendaftaran JHF 8420T yang dikesan sekitar jam 3.38 petang.

Katanya, vesel berkenaan cuba melarikan diri dan gagal memberikan kerjasama selepas diarahkan berhenti sebelum berjaya ditahan pada kira-kira jam 4.08 petang.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel itu membawa seorang tekong berusia 34 tahun bersama 13 awak-awak berumur antara 15 hingga 61 tahun, kesemuanya warganegara Vietnam.

“Vesel berkenaan gagal mengemukakan dokumen serta lesen yang sah, manakala tekong dan semua awak-awak tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Bagi tangkapan kedua, Kamal berkata vesel bernombor pendaftaran KNF 7392 dikesan sekitar jam 4.44 petang di lokasi kira-kira 148 batu nautika dari Muara Tok Bali.

“Vesel itu turut cuba melarikan diri sebelum berjaya ditahan kira-kira jam 5.14 petang.

“Pemeriksaan mendapati vesel berkenaan membawa seorang tekong berusia 46 tahun dan 15 awak-awak berumur antara 17 hingga 53 tahun, yang kesemuanya juga warganegara Vietnam.

“Vesel kedua turut gagal mengemukakan dokumen dan lesen yang sah, selain semua tekong dan awak-awak tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Kamal berkata, kedua-dua vesel dipercayai adalah vesel nelayan asing yang menggunakan nombor pendaftaran vesel nelayan tempatan secara palsu atau diklon.

Beliau berkata, nilai keseluruhan hasil laut dan barangan yang dirampas daripada kedua-dua vesel berkenaan dianggarkan berjumlah RM2,407,400.00 juta.

“Kesemua 30 individu terbabit bersama kedua-dua vesel dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985,” katanya.

Mengulas kemungkinan kedua-dua vesel terbabit berada dalam kumpulan sama, Kamal berkata perkara itu masih dalam siasatan, namun jarak antara kedua-duanya hanya sekitar 10 batu nautika.

Dalam pada itu, APMM Kelantan meningkatkan rondaan di sempadan perairan negara bagi membanteras pencerobohan vesel nelayan asing.

Kamal berkata, pengawasan turut dipertingkatkan menerusi tinjauan udara menggunakan pesawat APMM yang diterbangkan setiap hari secara bergilir di kawasan operasi.

Menurutnya, kawasan sekitar 130 batu nautika dan ke atas dari perairan Kelantan sehingga sempadan Malaysia-Vietnam dikenal pasti antara kawasan tumpuan pengawasan.

“Memang kita meningkatkan rondaan di sempadan perairan dan pesawat kita setiap hari menjalankan penerbangan untuk tinjauan udara.

“Setakat ini, laporan pencerobohan lebih banyak membabitkan bot Vietnam berbanding bot Thailand,” katanya.

Kamal berkata, APMM juga tidak menolak kemungkinan terdapat maklumat daripada pihak tertentu yang membantu vesel asing menggunakan nombor pendaftaran tempatan, namun perkara itu masih dalam siasatan.

Beliau berkata, terdapat nombor pendaftaran yang digunakan vesel terbabit yang pernah wujud, namun sudah tamat tempoh dan tidak lagi aktif.

Dalam perkembangan berkaitan, Kamal berkata APMM sedang memperkukuh keupayaan asetnya termasuk perolehan kapal baharu yang mempunyai kemampuan operasi lebih lama di laut serta dilengkapi teknologi terkini bagi mengesan vesel dengan lebih pantas.

Katanya, keupayaan kapal untuk berada di laut dalam tempoh panjang amat penting bagi memastikan penguatkuasaan di perairan negara dapat dilaksanakan secara berterusan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here