Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seramai 92 wanita warga emas menyertai Kejohanan Tenpin Boling Wanita Warga Emas Peringkat Negeri Kelantan, sekali gus menggalakkan golongan berkenaan kekal aktif menerusi aktiviti sukan secara santai.
Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Mohd Saipuddin Zakaria berkata, kejohanan itu menyasarkan penyertaan 80 peserta, namun jumlah sebenar yang mengambil bahagian melebihi sasaran ditetapkan.
Menurutnya, peserta terdiri daripada golongan warga emas yang mewakili Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), persatuan serta penyertaan secara perseorangan.
Katanya, penganjuran kejohanan berkenaan bertujuan membangunkan, menggalakkan dan mempromosikan sukan tenpin boling dalam kalangan warga emas, selain menggalakkan amalan gaya hidup aktif.

“Program seperti ini memberi ruang kepada warga emas untuk menjalani aktiviti fizikal yang mudah disertai dalam suasana santai dan menyeronokkan.
“Pada masa sama, ia turut menjadi platform untuk menggalakkan pembangunan sukan di peringkat akar umbi melalui kerjasama strategik pelbagai pihak,” katanya.
Hadir sama Timbalan Pengarah (Sukan) Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Hazri Nizam Zakaria.
Beliau berkata kejohanan itu dipertandingkan secara individu dengan setiap peserta perlu melengkapkan tiga permainan.

“Selain menguji kemahiran dan ketepatan peserta, pertandingan berkenaan turut menjadi wadah mengeratkan hubungan serta menggalakkan interaksi sosial dalam kalangan warga emas.
“Bagi menghargai pencapaian peserta, hadiah berupa wang tunai, piala, mock cheque dan sijil pencapaian disediakan kepada pemenang.
“Johan menerima wang tunai RM400, naib johan RM300, tempat ketiga RM200 manakala tempat keempat menerima RM100,” katanya.
IMedikel TV






