DORTMUND: Serhou Guirassy menjaringkan satu gol dan mencipta satu lagi ketika Borussia Dortmund menewaskan Athletic Bilbao 4-1 di laman sendiri untuk meraih kemenangan pertama mereka dalam kempen Liga Juara-Juara musim ini, awal pagi tadi.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Karim Adeyemi membantu Daniel Svensson membuka tirai jaringan sebelum minit ke-30, manakala Carney Chukwuemeka menambah gol kedua Dortmund awal babak kedua sekali gus jaringan pertamanya sejak menyertai pasukan dari Chelsea pada musim panas.
Dortmund berjanji untuk tampil lebih stabil selepas memulakan kempen Eropah mereka dengan keputusan 4-4 menentang Juventus, namun mereka membenarkan Bilbao kembali ke dalam perlawanan apabila Gorka Guruzeta menjaringkan gol hasil kesilapan pertahanan pada minit ke-60.
Dortmund kelihatan goyah selepas itu, tetapi Guirassy menenangkan keadaan apabila dia menyentuh sedikit rembatan Marcel Sabitzer untuk mengembalikan kelebihan dua gol, sembilan minit sebelum tamat.
Julian Brandt kemudian menambah gol keempat untuk tuan rumah pada masa kecederaan bagi melengkapkan kemenangan bergaya.
Bilbao, yang membuat penampilan pertama mereka dalam Liga Juara-Juara sejak musim 2014-15 dan hanya kali ketiga keseluruhan, nyata merindui kreativiti pemain sayap Sepanyol yang cedera, Nico Williams.
Kekalahan itu yang kelima dalam enam perlawanan tanpa kehadiran Williams, dengan Bilbao hanya menjaringkan dua gol sepanjang tempoh itu.
Walaupun memulakan musim tanpa kalah, jurulatih Niko Kovac menunaikan janjinya sebelum perlawanan untuk melakukan penggiliran pemain dan memberi peluang bermain kepada barisan simpanan.
Jobe Bellingham memulakan perlawanan pertamanya sejak Ogos, manakala Chukwuemeka membuat penampilan sulung dalam kesebelasan utama. -AFP, HMetro Online-
IMedikel TV






