KUALA LUMPUR: Spekulasi Dayang Nurfaizah hangat dilamun cinta akhirnya terjawab apabila penyanyi Di Pintu Syurga itu tidak menafikan sedang berkawan rapat dengan seorang jejaka.
Bagaimanapun, mengenai konon dia bakal berkahwin dengan individu yang tidak didedahkan identiti itu, Dayang terus berteka-teki dengan enggan mengesahkan atau menafikan perkara itu.
Dayang atau nama sebenar, Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 44, sebaliknya menyerahkan soal jodoh kepada Allah SWT.
“Saya tidak nafikan sedang mengenali seseorang. Saya juga tidak mengiya atau menafikan (bakal berkahwin).
“Soal jodoh ini macam biasa dan memang kedengaran klise. Saya serahkan pada Allah SWT. Semoga peminat mendoakan yang terbaik untuk saya.
“Mungkin orang sangka saya nak kahwin sebab lagu raya saya berjudul Jodoh Di Hari Raya,” katanya ditemui pada majlis sidang media Konsert MeleTOP TVS di Bukit Jalil, di sini, malam tadi.
Konsert itu bakal berlangsung di Stadium Tertutup Miri, Sarawak pada 17 Mei ini.
Biarpun gementar apabila diasak dengan soalan peribadi, namun, daripada riak wajah, jelas tergambar kebahagiaan dalam diri Dayang.
Malah, ketika ditanya, tanpa berselindung Dayang mengakui sedang menikmati fasa bahagia dalam kehidupan.
“Dayang bahagia dan sentiasa bahagia serta bersyukur… Doakan,” ungkapnya.
Sementara itu, enggan menghampakan sesiapa, penyanyi bersuara gemersik itu berjanji tidak akan menyembunyikan jika suatu hari nanti sampai seru dia melangkah ke gerbang perkahwinan.
“Kalau ada berita baik, jangan risau saya akan kongsikan. Benda tidak baik, kita diamkan… Janji,” katanya sambil tertawa.
Dayang sebelum ini pernah terpalit dengan gosip menjalin hubungan dengan seorang penyanyi lelaki dan bakal mengikat tali pertunangan. – BH Online –
IMedikel TV






