Home Buletin Semasa DALANG UTAMA SINDIKET EJEN HARAM IMIGRESEN DITAHAN

DALANG UTAMA SINDIKET EJEN HARAM IMIGRESEN DITAHAN

141
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan dipercayai dalang utama sindiket ejen haram antara lapan individu ditahan dalam operasi khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sekitar Putrajaya, Puchong, Kelana Jaya dan Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Turut ditahan dalam operasi pada 4 dan 5 Sept bermula 3.22 petang itu seorang lelaki Vietnam dan India dipercayai ahli sindiket, selain tiga wanita terdiri daripada dua warga Vietnam dan seorang Sri Lanka.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, dalam suatu kenyataan media, berkata berdasarkan risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi dan berjaya menahan kesemua suspek yang berusia 22 hingga 42 tahun.

“Semakan awal mendapati seorang lelaki warganegara Vietnam mempunyai pas yang masih sah laku, dua perempuan warganegara Vietnam dan seorang perempuan warganegara Sri Lanka telah tinggal lebih masa.

“Manakala warganegara asing yang lain tidak memiliki sebarang dokumen yang perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,”katanya menurut kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya merampas 209 pasport pelbagai negara dan menyita sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70, kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora, kereta Nissan Almera dan Audi.

Modus operandi sindiket adalah mensasarkan warganegara asing di sekitar Lembah Klang dengan menawarkan perkhidmatan untuk berurusan dengan Jabatan Imigresen Malaysia berkaitan pasport dan pas seperti Pas Lawatan Sosial (PLS), Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), Pas Lawatan Ikhtisas (PLIK) dan Visa.

“Kadar bayaran yang 2 dikenakan adalah sebanyak RM500 hingga RM1100 bagi setiap perkhidmatan yang ditawarkan,”katanya.

Katanya, kesemua warga asing ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil manakala tiga dalang utama ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(3), Seksyen 15(4) dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here