Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GUA MUSANG: Cubaan dua lelaki warga Myanmar mengedar 6,000 biji pil disyaki dadah jenis yaba bernilai kira-kira RM60,000 gagal apabila mereka diberkas polis dalam Op Tapis Bersepadu selepas kenderaan dinaiki terbabas dan melanggar sebuah lori di Kampung Kuala Lah, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika anggota polis menjalankan tugas snap check di Kilometer 9, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis.
Menurutnya, sebuah Proton Preve berwarna putih yang dipandu dalam keadaan mencurigakan bertindak membuat pusingan U sebaik
menghampiri lokasi pemeriksaan.
“Anggota polis kemudian mengejar kenderaan itu dengan bantuan anggota Balai Polis Bertam sebelum kereta suspek terbabas dan melanggar sebuah lori di Kampung Kuala Lah berhampiran simpang tiga Jerek-Meranto.
“Hasil tindakan pantas pihak polis, kedua-dua suspek berjaya diberkas,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu menemukan sebuah beg silang yang mengandungi bungkusan plastik berisi 6,000 biji pil disyaki dadah jenis yaba.
“Turut dirampas ialah sebuah Proton Preve, lima unit telefon bimbit dan satu kunci kereta, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM60,000,”katanya.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku memiliki dadah berkenaan, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran serta individu lain yang terbabit.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine, manakala seorang daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman berat jika disabitkan kesalahan.
“Kedua-dua suspek turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah akta berkenaan,”katanya.
Beliau berkata, IPD Gua Musang akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau penyalahgunaan dadah supaya menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah.
IMedikel TV






