Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TANAH MERAH: Suasana hiba menyelubungi Unit Forensik Hospital Tanah Merah apabila ahli keluarga tiga mangsa yang maut dalam nahas membabitkan lori membawa bekalan ayam di Lebuhraya Timur Barat, awal pagi tadi, tidak dapat menahan sebak ketika menunggu jenazah insan tersayang.
Mohamad Hairi Hanifah, 26 adalah adik kepada Mohd Haikal, 29, berkata detik paling sukar untuk dilupakan ialah apabila melihat abangnya masih menunjukkan tanda-tanda hidup ketika dikeluarkan dari kenderaan yang remuk.

Mohamad Hairi berkata, dia menerima panggilan daripada rakan arwah kira-kira jam 4 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian dengan menyangka ia hanya kemalangan biasa.
“Saya ingat kemalangan biasa sahaja. Bila sampai di lokasi, rupa-rupanya abang tersepit dalam lori.
“Ketika bomba keluarkan abang, dia masih hidup tetapi hanya mampu melambai-lambai tangan. Dia tidak dapat bercakap apa-apa sebelum dibawa ke hospital,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tanah Merah, di sini, hari ini.
Menurutnya, arwah disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Mohamad Hairi berkata, abangnya anak keenam daripada lapan beradik disifatkan sebagai seorang yang ceria, baik hati dan rapat dengan adik-beradik.
“Kali terakhir kami berjumpa kira-kira dua minggu lalu di rumah. Dia ceria seperti biasa dan langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan.
“Pemergian abang adalah kehilangan besar buat kami sekeluarga,” katanya.
Sementara itu, kakak sulung kepada pemandu lori, Azwani Mohd Nor, 38, berkata dia menerima panggilan mengenai kemalangan itu sekitar jam 4.30 pagi sebelum bergegas ke lokasi.

Katanya, ketika tiba di tempat kejadian, anggota bomba sedang mengeluarkan adiknya Muhammad Zakwan, 25, yang tersepit di dalam lori.
“Saya nampak dia masih bernafas dan matanya masih terbuka sedikit ketika dibawa masuk ke dalam ambulans.
“Tapi selepas diberi rawatan kecemasan, doktor memaklumkan adik saya sudah tiada,” katanya.
Menurut Azwani, arwah yang berasal dari Kampung Air Chanal adalah seorang anak yang bertanggungjawab dan sentiasa mengambil berat tentang ibu bapanya.
“Kalau ayah atau ibu sakit, dialah yang banyak membantu. Dia juga seorang anak yang baik dan tidak pernah menimbulkan masalah.
“Sebelum kejadian, dia ada beritahu mahu pulang berehat selepas beberapa hari bekerja. Dia juga sempat berpesan supaya saya membeli makanan ayam, tetapi itu rupanya menjadi pesanan terakhir,” katanya dalam nada sebak.
Dalam pada itu, isteri kepada kelindan, Norazeman Abdul Aziz, 42, iaitu Noor Aida Talib, 46, berkata suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum keluar bekerja.

Namun katanya, ada satu perkara yang berbeza apabila arwah tidak menghubunginya seperti kebiasaan.
“Biasanya kalau melalui laluan Jeli-Batu Melintang, dia akan telefon saya. Semalam dia tidak telefon langsung.
“Arwah memang rapat dengan anak-anak. Kami mempunyai lima orang anak berusia antara tujuh hingga 21 tahun. Kehilangannya amat dirasai,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.26 pagi tadi, lori lima tan membawa bekalan ayam yang dinaiki ketiga-tiga mangsa dipercayai merempuh sebuah treler yang diparkir di bahu jalan di Lebuhraya Timur Barat.
Jenazah Mohd Haikal akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Kijang, Alor Pasir, manakala Muhammad Zakwan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Chanal.
Jenazah Norazeman pula akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lawang.
IMedikel TV






