PARIS: Pemain Liverpool, Federico Chiesa dipanggil semula menyertai skuad Itali bagi aksi play-off kelayakan Piala Dunia 2026, manakala penjaga gol Tottenham, Guglielmo Vicario terpaksa diketepikan untuk menjalani pembedahan.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, pengendali Itali, Gennaro Gattuso menamakan skuad 28 pemain bagi aksi menentang Ireland Utara pada 26 Mac di Bergamo.
Jika menang, Itali akan berdepan pemenang antara Wales dan Bosnia-Herzegovina pada 31 Mac bagi merebut tempat ke pusingan akhir Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Jika gagal, Itali akan terlepas pusingan akhir Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut.
Gattuso turut memanggil semula pertahanan tengah Atalanta, Giorgio Scalvini, 22, yang sebelum ini mengalami kecederaan lutut kiri serius menjelang Euro 2024, serta pemain tengah AS Roma, Niccolo Pisilli, 21, yang memiliki satu penampilan bersama skuad kebangsaan pada 2024.
Pertahanan Cagliari, Marco Palestra, 21, pula menerima panggilan sulung.
Chiesa, yang merupakan sebahagian daripada skuad juara Euro 2021, tidak beraksi bersama Itali sejak Euro 2024 apabila juara bertahan itu tersingkir pada pusingan 16 terakhir kepada Switzerland.
Pengurus Tottenham, Igor Tudor memaklumkan Vicario akan terus beraksi walaupun menanggung kesakitan dalam perlawanan penting liga menentang Nottingham Forest malam esok sebelum menjalani pembedahan hernia ketika rehat antarabangsa.
Vicario sebelum ini beraksi pada perlawanan kedua terakhir kumpulan kelayakan Piala Dunia, kemenangan 2-0 ke atas Moldova pada November.
Dia kemudian hanya berada di bangku simpanan ketika Itali dibelasah 4-1 oleh pendahulu kumpulan, Norway di Milan tiga hari kemudian. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






