Home Buletin Semasa CEGAH PENULARAN VIRUS NIPAH, 120 PETUGAS DITEMPATKAN DI TIGA ICQS – JKN...

CEGAH PENULARAN VIRUS NIPAH, 120 PETUGAS DITEMPATKAN DI TIGA ICQS – JKN KELANTAN

50
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan mengambil langkah proaktif bagi mencegah penularan virus Nipah dengan menempatkan seramai 120 petugas kesihatan di tiga pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) negeri ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr. Mohd Azman Yacob berkata, petugas berkenaan ditempatkan di ICQS Rantau Panjang, Bukit Bunga dan Pengkalan Kubor bagi melaksanakan saringan kesihatan ke atas individu yang memasuki negara.

“Penempatan petugas kesihatan itu telah dilaksanakan sejak seminggu lalu dan membabitkan pegawai perubatan, penolong pegawai kesihatan persekitaran serta jururawat.

“Setakat ini, Malaysia masih bebas daripada jangkitan virus Nipah, namun pemantauan dan saringan kesihatan terus dipertingkatkan sebagai langkah pencegahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Program Sihat Itu Saya di sini, hari ini.

Dr. Mohd Azman menjelaskan, saringan yang dijalankan merangkumi imbasan suhu badan dan sekiranya membabitkan individu dari negara selain Thailand, saringan lebih terperinci termasuk sesi temu bual akan dilaksanakan.

Katanya, antara simptom jangkitan virus Nipah ialah demam dan batuk, namun virus berkenaan juga boleh mengakibatkan komplikasi serius sehingga membawa kepada kematian akibat serangan ke atas organ penting seperti otak.

“JKNK sentiasa bersedia melakukan saringan rapi terhadap individu yang datang dari negara berisiko seperti India bagi memastikan virus ini tidak merebak ke negara kita.

“Selain itu, saringan kesihatan turut dilaksanakan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa ke atas individu yang tiba dari Singapura,” katanya.

“Bagaimanapun, JKNK sentiasa bersedia untuk menyaring individu yang datang dari negara berisiko iaitu India bagi memastikan virus ini tidak merebak ke negara kita.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan petugas kesihatan yang berdepan tekanan emosi atau mental boleh membuat laporan atau aduan melalui saluran I Help, yang akan disalurkan terus kepada Unit Integriti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tanpa perlu melalui ketua jabatan masing-masing.

“Kita sudah menyediakan saluran yang khusus, namun petugas juga dialu-alukan untuk berbincang dengan ketua jabatan sekiranya berasa selesa berbuat demikian.

“Tekanan adalah bersifat subjektif, namun apa yang ingin dielakkan ialah tekanan kronik berpanjangan sehingga menjejaskan motivasi, kesihatan mental serta prestasi kerja,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here