KUALA LUMPUR: Pempengaruh yang juga penyanyi rap, Caprice memaklumkan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam, semalam yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM220,000 serta memohon maaf kepada pendakwah bebas, Ebit Lew.
Menerusi media sosialnya, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli memuat naik video memberitahu sudah memaklumkan peguamnya untuk merayu keputusan terbabit ke Mahkamah Tinggi.
“Apa khabar semua? Saya ada berita buruk. Berita yang benar-benar buruk. Kami kalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, 2-0. Jadi, saya telah mengarahkan peguam saya untuk merayu keputusan hari ini.
“Kami tidak bersetuju dengan keputusan itu. Moga-moga, insya-Allah, dekat Mahkamah Tinggi kita ada peluang yang lebih baik,” katanya.
Walaupun kurang berpuashati dengan keputusan ini, penyanyi lagu Topeng feat Sherry Ibrahim ini akur dengan keputusan mahkamah dan menghormatinya.
Dia pernah berdepan situasi keputusan tidak memihak kepadanya di Mahkamah Sesyen sebelum memperoleh keputusan berbeza selepas ia dibawa ke Mahkamah Tinggi.
Caprice dalam video itu turut meminta penyokong mendoakan satu lagi kes yang menurutnya masih berjalan di Tenom, Sabah.
“Ada masa kita kalah, ada masa kita menang. Kami akan merayu. Moga-moga kebenaran akan menang pada akhirnya. Terima kasih atas semua doa dan sokongan anda. Kami akan merayu dan saya akan berjumpa anda di Mahkamah Tinggi,” katanya.
Sementara itu komen-komen berbeza diterima di media sosialnya. Ada yang menyokongnya dan ada juga yang sebaliknya. – BH Online –
IMedikel TV






